SEGAMAT 27 Mac – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) melaksanakan misi tanggungjawab sosial universiti (USR) dengan menyumbangkan panel solar bagi menerangi kawasan gelanggang futsal di Kampung Kudung, Bekok dekat sini.
Antara lainnya sumbangan tersebut turut bertujuan mendidik masyarakat tentang teknologi tenaga boleh diperbaharui melalui sumber matahari.
Naib Canselornya, Datuk Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, menerusi program yang dianjurkan itu penduduk turut diberikan penerangan tentang proses simpanan tenaga dan pengecasan bateri melalui teknologi solar.
Jelasnya, teknologi merupakan sesuatu yang bersifat teknikal, namun apabila melibatkan komuniti kita seharusnya menggunakan pendekatan yang lebih mudah difahami dan ini sangat penting dalam mewujudkan masyarakat yang celik teknologi.
“Atas dasar itu, kesemua 40 penuntut kejuruteraan UniMAP yang terlibat dengan misi ini diminta untuk menerapkan perkongsian ilmu teknologi kepada masyarakat Orang Asli daripada suku kaum Jakun yang merupakan majoriti penduduk di kampung berkenaan.
“Hasilnya, kita dapat melihat keterujaan penduduk yang mana mereka turut mengharapkan agar teknologi tersebut dapat diaplikasikan ke seluruh kampung,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Papan Solar kepada Ketua Penduduk, Tok Batin Kassim di kampung tersebut semalam.
Yang turut hadir, Timbalan Naib Canselor HEPA UniMAP; Prof. Dr. Mohd. Foad Sakdan, Pengarah Pusat Sukan UniMAP; Suhizaz Sudin dan Pengetua Kolej Kediaman Bumita; Dr. Hirwan Jasbir Jaafar.
Program yang berlangsung selama empat hari itu dianjurkan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) Majlis Penghuni Kolej Kediaman Bumita serta Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).
Sepanjang program, para peserta yang dibahagikan kepada keluarga angkat masing-masing turut menjayakan aktiviti USR lain seperti gotong-royong memasak, motivasi pelajar, mempelajari teknik survival di hutan dan sungai selain mengenali adat resam serta budaya tempatan.
Zul Azhar berkata, UniMAP turut mengambil peluang menyampaikan sumbangan pribadi kepada empat keluarga yang terdiri daripada warga emas, saudara baharu dan orang kelainan upaya.
Jelas beliau, meskipun itu merupakan kunjungan kali pertama UniMAP ke kampung berkenaan, penduduk setempat memberikan sambutan yang luar biasa termasuk menyediakan menu makanan tradisi masyarakat Orang Asli.
“Saya percaya peserta melalui satu proses yang menyeronokkan apabila berpeluang merasai pelbagai menu masakan hanya berasaskan satu sumber makanan iaitu ubi kayu,” katanya. – UTUSAN ONLINE











