TA’QALI, Malta 27 Mac – Alvaro Morata mendedikasikan kemenangan 2-0 Sepanyol ke atas Malta kepada Luis Enrique yang terlepas aksi tersebut kerana hal kecemasan melibatkan keluarganya.
Perkara itu diumumkan semalam bahawa Enrique tidak dapat hadir dan akan digantikan Robert Moreno.
Morata menjaringkan kedua-dua gol itu dan bintang Atletico Madrid itu mendedikasikannya kepada Enrique selepas tamat permainan.
“Kami memang inginkan kemenangan dan akan lakukan segalanya tetapi hari ini kami memiliki motivasi tinggi.
“Kami mahu menang untuk pengendali kami yang layak untuk menerima kemenangan ini.
“Dia tahu betapa gembiranya saya untuk berada di sini. Kami mahu segera layak ke Euro 2020 dan ini adalah kemenangan yang penting,” katanya.
Marco Asensio merasakan prestasi kurang memberangsangkan pasukan itu adalah kerana ketiadaan Enrique.
“Apabila jurulatih tidak bersama kami, persembahan kami kurang menyerlah dan kejayaan ini adalah untuk dia,” katanya.
Sepanyol kini berada di kedudukan teratas Kumpulan F dengan enam mata daripada dua perlawanan.-AGENSI











