JASIN 27 Mac – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka mengesan tujuh kesalahan utama penyebab berlakunya kemalangan yang didapati masih kerap dilakukan pengguna jalan raya di negeri ini.
Pengarahnya, Muhammad Firdaus Shariff berkata, kesalahan-kesalahan itu didapati masih tinggi malah merupakan penyumbang utama kepada kes-kes kemalangan jalan raya termasuk kemalangan maut.
Menurutnya, tujuh kesalahan itu adalah tidak memakai topi keledar (motosikal), memotong di garisan berkembar, melanggar lampu isyarat merah, memandu sambil menggunakan telefon bimbit, membuat pusingan U di tempat tidak dibenarkan dan menggunakan lorong kecemasan.
“Kita dapati tujuh kesalahan utama ini masih ramai pengguna jalan raya yang ingkar dan melakukannya.
“Berdasarkan statistik, sebanyak 177 kesalahan dilakukan sepanjang Januari lalu membabitkan tujuh kesalahan tersebut namun jumlahnya menurun kepada 100 kesalahan pada Februari.
“Kesalahan paling banyak membabitkan kesalahan membuat pusingan U di tempat tidak dibenarkan dengan 106 kes pada Januari dan 42 kes pada Februari manakala untuk bulan ini (sehingga 20 Mac), sebanyak 40 kesalahan sama direkodkan,” katanya dalam sidang akhbar sempena Operasi Khas Pengarah JPJ Melaka di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) di sini, sebentar tadi.
Operasi bermula dari pukul 9 hingga 11 pagi itu turut melibatkan 48 pegawai dan anggota JPJ negeri dan cawangan Jasin, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Melaka. – UTUSAN ONLINE











