‘Tahniah MB kerana tegas, tapi...’ - Utusan Malaysia

‘Tahniah MB kerana tegas, tapi…’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN 27 Mac – Keputusan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun meletakkan jawatan Presiden Kelab Golf Antarabangsa Seremban (SIGC) ekoran isu penjualan arak di kelab itu menggambarkan kelemahan pentadbiran beliau.

Pemangku Pesuruhjaya Pas negeri, Rafiei Mustapha berkata, keputusan ahli kelab itu menarik balik larangan menjual arak yang dicadangkan sendiri oleh Aminuddin menunjukkan permintaannya tidak dihormati.

Ujarnya, sebagai pemimpin negeri, cadangan atau arahan beliau sewajarnya diambil kira memandangkan kelab itu adalah milik kerajaan negeri.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sepatutnya kalau kepemimpinan beliau teguh, sudah tentu kalau ada arahan harus dilaksanakan sebab datang daripada menteri besar sendiri.

“Apabila larangan jual arak di kelab itu ditarik balik, maknanya beliau tidak ada kekuatan dari segi pentadbiran. Isu ini membuka mata kita tentang apa yang berlaku dalam kerajaan negeri,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan Aminuddin melepaskan jawatan Presiden SIGC selepas mesyuarat agung luar biasa kelab itu pada Ahad lalu menarik balik larangan menjual arak yang dicadangkannya pada 20 Ogos tahun lalu.

Aminuddin sebelum ini berkata, beliau meminta larangan itu dikuat kuasa bagi menghormati sensitiviti umat Islam kerana kelab itu terletak di kawasan masjid dan perumahan yang dihuni majoritinya orang Melayu.

Dalam pada itu, Rafiei bagaimanapun memuji tindakan tegas Aminuddin meletakkan jawatan dan tidak bertolak ansur dengan penjualan arak di kelab golf yang mempunyai kira-kira 1,500 ahli.

“Itu contoh kalau benar-benar mahu martabatkan Islam. Tindakan beliau dipuji walaupun kita tahu ada implikasinya. Tahniah kepada menteri besar.

“Lagipun larangan itu bukan bermakna tidak benarkan orang bukan Islam minum arak sama sekali. Mereka juga perlu sedar bahawa bukan semua ahli kelab itu bukan beragama Islam,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini