KUALA LUMPUR 27 Mac – Projek Transit Aliran Massa 2 (MRT2) dan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) yang diperkenalkan semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN) untuk meningkatkan mutu perkhidmatan awam di Lembah Klang, diteruskan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Projek itu diteruskan setelah kerajaan berunding dengan pihak kontraktor sehingga mengurangkan kos keseluruhan dua projek berkenaan sebanyak RM23.84 bilion.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, keputusan membatalkan kontrak tertakluk kepada harga yang boleh dikurangkan, mutu kerja yang dijalankan serta sama ada wujud unsur-unsur salah laku dan penyelewengan.
“Sekiranya pemotongan harga yang munasabah boleh dicapai dengan mutu kerja yang terjamin, maka sesuatu projek boleh dipertimbangkan untuk diteruskan,” katanya semasa sesi soal jawab dalam sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Ahmad Hamzah (BN-Jasin) yang bertanykan mengenai MRT2 dan LRT3.-UTUSAN ONLINE











