BANGKOK 26 Mac – Keadaan tidak menentu terus menyelubungi Thailand selepas pilihan raya pertama negara itu dalam lapan tahun tetapi Prayuth Chan-o-cha meneruskan tugasnya seperti biasa.
Selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan kabinet di sini hari ini, Ketua Majlis Kebangsaan untuk Keamanan dan Ketenteraman (NCPO) memberitahu pemberita bahawa beliau akan terus menumpukan kepada tugasnya.
“Saya akan terus memainkan peranan saya sebagai Perdana Menteri Thailand dan Ketua NCPO sehingga kerajaan seterusnya dibentuk, di bawah Perlembagaan,” kata beliau.
Prayuth, satu-satunya calon Perdana Menteri untuk parti Palang Pracharat, berkata beliau tidak terlibat dalam proses pembentukan sebuah kerajaan baharu.
“Ia adalah kewajipan kumpulan politik,” katanya. – BERNAMA











