BANGKOK 26 Mac – Sebuah kumpulan pemantau pilihan raya menyatakan proses pengiraan undi pilihan raya umum (PRU) pertama Thailand sejak rampasan kuasa tentera pada 2014 mempunyai kelemahan yang sangat ketara.
Dalam laporan interimnya mengenai PRU Thailand, Asian Network for Free Elections (Anfrel), berkata integriti proses pengiraan di kebanyakan pusat mengundi menimbulkan kesangsian berhubung ketelusan dari segi operasi penjadualan dan penjumlahan memandangkan tiada akses pemerhati, ejen parti atau media.
“Ada kepincangan ketara dari segi penjadualan dan penjumlahan kertas undi yang membawa kepada keputusan awal tidak tepat pada malam pilihan raya.
Ini memburukkan lagi tanggapan terhadap integriti pilihan raya umum itu.
“Badan pengurusan pilihan raya harus memastikan keputusan pilihan raya bukan sahaja tepat tetapi juga hasil daripada proses boleh dipercayai yang diterima umum,” demikian menurut Anfrel yang turut menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengeluarkan keputusan menyeluruh pilihan raya secepat mungkin.
SPR hanya mengumumkan 93 peratus daripada keseluruhan undi yang dikira pada malam Ahad dan keputusan tidak rasmi bagi 350 kerusi kawasan Dewan Perwakilan diumumkan semalam.
Pheu Thai, parti yang mempunyai kaitan dengan perdana menteri yang digulingkan Thaksin Shinawatra, mendahului dengan 137 kerusi diikuti parti pro-tentera Palang Pracharat dengan 97 kerusi.
Bagaimanapun, keputusan rasmi termasuk 150 kerusi untuk senarai parti hanya akan diketahui pada 9 Mei.
SPR dijangka mengumumkan jumlah undi bagi setiap kawasan pada Jumaat untuk menentukan kerusi senarai parti bagi setiap parti.
Anfrel berkata kegagalan SPR semasa pengumuman keputusan awal pada malam Ahad menguatkan wasangka masyarakat tentang kredibiliti hasil pilihan raya dan ini menuntut langkah-langkah mitigasi SPR.
Dalam laporannya, Anfrel berkata kempen pilihan raya juga jelas menyebelahi tentera dan calon-calon yang disokongnya. – BERNAMA











