Bank Simpanan Nasional (BSN) baru-baru ini menyerahkan tujuh mesin dialisis bernilai RM282,000 kepada Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE). Ia sebuah organisasi kebajikan ditubuhkan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang berperanan sebagai badan khidmat bantuan dan kebajikan kepada masyarakat Islam di negeri itu.
Ketua Eksekutif BSN, Datuk Yunos Abd. Ghani menyerahkan sumbangan mesin dialisis tersebut kepada Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi mewakili YIDE.
Bercakap pada majlis penyerahan tersebut, Yunos berkata, BSN sentiasa menyokong program yang menyumbang kepada pembangunan sosial masyarakat. Sumbangan mesin dialisis kepada YIDE merupakan tanggungjawab sosial korporat yang dijalankan melalui peruntukan zakat daripada operasi ‘Skim Perbankan Islam’ (SPI) BSN.
“BSN bukan sahaja menawarkan perkhidmatan kewangan kepada segenap lapisan komuniti, malah turut komited untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan. Tidak ketinggalan bantuan kepada pesakit-pesakit buah pinggang yang mendapatkan rawatan hemodialisis di enam buah cawangan Pusat Dialisis MAIS.
“Kami dimaklumkan rata-rata cawangan Pusat Dialisis MAIS mempunyai antara enam hingga 12 buah mesin dialisis yang menampung seramai 36 hingga 76 orang pesakit seminggu. Penggunaan mesin-mesin berkenaan beroperasi secara tiga syif berterusan setiap hari tanpa henti menyebabkan kondisi mesin-mesin tersebut sering mengalami kerosakan.
“Justeru, melalui sumbangan mesin dialisis baharu yang kami sampaikan ini, ia dapat memudahkan pesakit menjalankan rawatan dengan lancar dan sempurna,”katanya dalam satu kenyataan.
Turut hadir pada majlis itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sementa, Dr. Daroyah Alwi; Ahli Lembaga Pemegang Amanah YIDE, Datuk Bakhtiar Hussin; Ketua Pegawai Eksekutif YIDE, Nur Muhammad Razali Abdullah dan Ketua Pegawai Penyelaras Lembaga Zakat Selangor serta Pengurusan BSN, Abdul Basith Hamid.
Selain menyampaikan sumbangan, pihak BSN juga turut serta dalam program kayuhan amal yang diadakan bersempena dengan sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia.
Penganjuran kayuhan amal itu diadakan dengan kerjasama Lembaga Zakat Selangor yang menghimpunkan lebih 500 peserta berbasikal terdiri daripada ahli kelab-kelab basikal di sekitar Lembah Klang, agensi korporat dan orang awam.
Program kayuhan amal sepanjang 12 kilometer itu diadakan di Masjid Al-Islah, Kampung Sementa, Kapar sebagai lokasi pelepasan dan tamat acara. Raja Muda Selangor dan peserta kayuhan amal yang lain turut menziarahi keluarga asnaf fakir miskin dan keluarga pesakit dialisis di sepanjang laluan kayuhan tersebut.
Selain itu, mereka turut melawat Pusat Dialisis MAIS Cawangan Kapar.











