KUALA LUMPUR 25 Mac – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang perlu berani mendedahkan nama pemimpin yang mendakwa Parti Amanah Negara (Amanah) sebagai alat kepada DAP.
Timbalan Presiden Amanah, Datuk Salahuddin Ayub berkata, Ahli Parlimen Marang itu perlu mendedahkan nama pemimpin dalam Pakatan Harapan (PH) itu bagi membersihkan semula imej parti Islam tersebut.
“Kita tidak mahu ia berterusan Pas berbohong kepada rakyat, masanya yang tepat dan memenuhi akhlak Islam untuk Abdul Hadi dedahkan siapa pemimpin itu.
“Saya harap dapat dilakukan segera untuk elak fitnah dan nama tidak baik kepada parti Islam ini,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.
Jelas beliau yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, partinya akan mengambil tindakan sewajarnya, selepas Abdul Hadi mendedahkan nama pemimpin berkenaan.
“Saya dan parti akan ambil langkah-langkah tertentu termasuk mengkaji atau melihat kebenaran atau kesahihah berita itu,” katanya.
Tambah beliau, kepemimpinan tertinggi Amanah tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan atau tindakan yang mengkhianati PH.
“Begitulah kami dulu dalam Pas, kami sentiasa berpegang pada prinsip Pakatan Rakyat ketika itu malah disiplin dan etika itu kami bawa sehingga hari ini dalam PH,” katanya.
Semalam, Abdul Hadi berkata, pemimpin PH memberitahunya Amanah sebenarnya diwujudkan semata-mata untuk menjadi alat kepada strategi DAP yang mahu menyekat pengaruh dan peluang Pas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). – UTUSAN ONLINE











