RANTAU PANJANG 25 Mac – Projek pembinaan Empangan Lebir dan Nenggiri di kawasan hulu Kelantan mampu menjadi ‘penyelamat’ kepada negeri ini sekiranya berlaku musim kemarau pada masa depan.
Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Kelantan, Kamal Mustapha berkata, projek dua empangan itu kini menjadi keperluan mendesak dan perlu disegerakan bagi mengatasi kekurangan bekalan air ketika kemarau.
“Kebanyakan sumber bekalan air negeri ini banyak tertumpu di kawasan hulu Kelantan. Bila sumber air di kawasan itu tidak ditakung, ia akan terlepas begitu sahaja. Jadi tiba musim kemarau kita tidak dapat guna.
“Jika ada empangan, sumber air pada musim hujan kita dapat takung dan lepaskan ke sungai,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau keadaan paras air di Empangan Bukit Kwong, Lubok Stol di sini hari ini.
Kamal memberitahu, musim kemarau kini memberikan kesan besar kepada rakyat dan sektor pertanian di negeri ini kerana penurunan paras air sungai menyebabkan rumah-rumah pam tidak tidak dapat beroperasi.

Katanya, pihaknya berharap projek pembinaan empangan di negeri ini dapat direalisasikan demi kepentingan rakyat walaupun menelan belanja yang besar.
“Kalau dua empangan besar itu tidak jadi dibina, kita terpaksa mewujudkan empangan kecil di beberapa kawasan sekitar Machang dan Tanah Merah serta baraj di Pasir Mas untuk atasi masalah di musim kemarau.
“Perkara ini sudah dimasukka ke dalam pelan jangka panjang untuk mengatasi masalah kekurangan air pada musim kemarau,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE











