KUALA LUMPUR 24 Mac – Jabatan Imigresen menahan ‘gadis anime’ dalam satu serbuan di festival anime di sebuah hotel di ibu negara, di sini semalam.
Difahamkan, operasi yang dijalankan kira-kira pukul 2 petang itu turut menahan 11 warga asing termasuk lapan wanita.
Pengarah Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, pihaknya memeriksa 52 individu dalam operasi di tingkat sembilan hotel tersebut.
“11 yang ditahan ialah warga Jepun (5 orang), Singapura (3), Thailand (2) dan Hongkong, seorang.
“Selain itu, kita turut menahan seorang lelaki tempatan disyaki majikan,” katanya di sini hari ini.
Menurut Hamidi, siasatan mendapati festival tersebut berlangsung selama dua hari dan warga asing yang terlibat menggunakan pas lawatan sosial untuk bekerja.
Jelasnya, festival tersebut juga dianjurkan tanpa mendapat kelulusan daripada Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL).
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963. – UTUSAN ONLINE











