KUALA LUMPUR 25 MAC – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyambut baik langkah yang diumumkan oleh Kementerian Dalam Negeri berhubung permohonan pertukaran butiran alamat pada kad pengenalan yang perlu disertakan dokumen sokongan lain.
Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, menerusi langkah itu semua pemohon perlu mengemukakan bil eletrik, bil pembentungan, bil utiliti, cukai pintu, perjanjian jual beli rumah, perjanjian atau resit sewa rumah atau dokumen lain bagi membuktikan pemohon telah menetap di alamat baharu tersebut.
“SPR berpendapat bahawa langkah tersebut amatlah wajar dan akan membantu usaha kami memastikan bahawa alamat seseorang pendaftar yang digunakan di dalam daftar pemilih merupakan alamat yang benar.
“Keadaan itu juga akan membantu membanteras apa-apa tindakan oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab untuk mendaftar pemilih di sesebuah kawasan ataupun memindahkan pengundi ke kawasan tertentu dengan menggunakan alamat palsu ataupun alamat kediaman pihak ketiga,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd. Azis Jamman sebelum ini mengumumkan perkara itu yang akan berkuat kuasa pada 2 Mei nanti.
Langkah itu secara langsung akan membantu SPR mewujudkan daftar pemilih yang lebih tepat, berintergriti dan diyakini khususnya dalam isu kesahihan alamat yang digunakan sebagai alamat maustatin. – UTUSAN ONLINE











