PORTO 24 Mac – Brazil gagal mencipta kemenangan ketika bertemu Panama dalam aksi persahabatan selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 di Stadium Porto Dragao, semalam.
Pemain AC Milan, Lucas Paqueta menjaringkan gol pertamanya bersama juara dunia lima kali itu sebelum Panama, pasukan ke-76 dunia menyamakan kedudukan menerusi jaringan kapten, Adolfo Machado.
Bintang Paris Saint-Germain (PSG), Neymar menonton perlawanan dari tempat duduk penyokong selepas dia baru pulih daripada kecederaan di tulang kaki kanannya.
“Persembahan pasukan tidak bagus namun kami tidak beraksi di bawah tahap sebenar.
“Apabila kami beraksi di Copa America akan akan memastikan pemain yang dipilih lebih tepat dan efisien,” kata jurulatih Brazil, Tite.
Brazil akan menghadapi Republik Czech dalam satu lagi aksi persahabatan, Selasa ini apabila mereka sedang melakukan persiapan untuk menghadapi Copa America dengan menjadi tuan rumah kejohanan yang akan bermula pada 14 Jun ini.- AFP











