Sathianathan kekal jawatan Presiden PJBM - Utusan Malaysia

Sathianathan kekal jawatan Presiden PJBM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KELANA JAYA 23 Mac – B. Sathianathan mengekalkan jawatan sebagai Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM) apabila diumumkan menang tanpa bertanding dalam Kongres persatuan itu bagi penggal 2018-2022 di sini, hari ini.

Turut mempertahankan jawatan ialah dua Timbalan Presiden PJBM, Datuk Ong Kim Swee dan Zainal Abidin Hassan setelah masing-masing memperoleh 120 serta 118 undi mengatasi seorang lagi calon, Raja Isa Raja Akram Shah (52 undi).

Tiga daripada Naib Presiden PJBM iaitu Dali Wahid, Datuk Richard Scully, Aminuddin Hussein turut menang tanpa bertanding dan mengekalkan jawatan masing-masing di samping muka baharu, Dr. Zulakbal Karim.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tiada pertandingan bagi jawatan No. 1 PJBM apabila pencabarnya, Reduan Abdullah menarik diri, manakala, Ismail Zakaria turut mengundurkan diri daripada merebut satu daripada dua kerusi Timbalan Presiden.

“PJBM memerlukan barisan jurulatih muda pada masa akan datang apabila jurulatih seperti kami bersara dengan kemasukan beberapa ahli Exco baharu antaranya Rezal Zambery Yahya, Ishak Kunju Mohamad dan ramai lagi.

“Idea mereka diperlukan bagi meningkatkan cara pengurusan persatuan dan jaga kebajikan jurulatih. Cita-cita dan visi kami selepas ini ialah meningkatkan pengetahuan jurulatih bukan sahaja dalam Liga Super atau Perdana tetapi juga ke akar umbi.

“Di Korea Selatan dan Jepun, kolej-kolej mereka tidak gunakan guru atau pensyarah tetapi kalangan orang luar yang juga jurulatih profesional melatih pasukan mereka,” kata Sathianathan yang juga ketua jurulatih pasukan Liga Super, Selangor.

Jelasnya, jurulatih akar umbi di kedua-dua negara Asia Timur itu mampu digaji sehingga AS$4,000 hingga AS$5,000 sebulan dan kalau jurulatih itu diminati, orang ramai sanggup keluarkan wang sendiri untuk mengekalkan khidmatnya.

Justeru tegasnya, bukan sesuatu yang mengejutkan jika skuad Bawah 19 tahun negara bimbingan Bojan Hodak boleh kalah kepada pasukan-pasukan sekolah di Jepun dalam Piala Sanix di Fukuoka, baru-baru ini.

“Di Malaysia, kita ada 5,000 jurulatih berdaftar yang ada lesen A, B dan C kejurulatihan tetapi yang aktif tidak lebih 400 orang. Ahli PJBM seramai 800 orang. Khidmat mereka inilah diperlukan bagi melatih pemain bawah 12, 15 dan 17 tahun,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini