SUBANG 22 Mac – Malindo Air akan memulakan laluan penerbangannya ke Sapporo, Jepun mulai esok.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Malindo Air, Chandran Rama Muthy, destinasi tersebut merupakan laluan ke-56 syarikat penerbangannya.
“Langkah ini bertepatan dengan sasaran syarikat bagi menambah lagi laluan penerbangan kami,” kata Chandran.
Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo di Sky Park Subang, di sini hari ini.
Penyerahan tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan Melayu (M) Berhad, Datuk Abd. Aziz Sheikh Fadzir sambil disaksikan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamaruddin Jaafar.
Yang turut hadir, ahli lembaga pengarah Kumpulan Utusan, Datuk Ahmad Fauzi Zahari dan Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Zulkifli Hamzah.

Satu majlis ringkas turut diadakan bagi meraikan ulang tahun ke-6 Malindo Air.
Sementara itu, Aziz berkata, penyerahan akhbar Utusan dan Kosmo merupakan salah satu usaha bagi menggalakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat.
“Kami berharap pengedaran ini akan menggalakkan budaya membaca, di samping membantu orang ramai mendapat berita yang tepat,” kata Aziz dalam ucapannya.
“Kerjasama ini menyaksikan setiap pengguna Kelas Bisnes Malindo Air diberikan akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo secara percuma, manakala bagi pengguna kelas lain, akan diberikan apabila diminta. – UTUSAN ONLINE











