WELLINGTON 22 Mac – Polis sedang menyiasat ancaman bunuh yang dihantar kepada Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern melalui media sosial.
NZ Herald melaporkan, ini selepas polis menerima laporan mengenai hantaran di Twitter mengandungi gambar senjata api dan kapsyen bertulis: ‘You are next’ (Selepas ini kamu) yang dihantar kepada Ardern.
Difahamkan, hantaran itu telah dimuat naik lebih 48 jam lalu sebelum akaun Twitter berkenaan digantung selepas menerima laporan pelbagai pihak.
Hantaran lain yang dikaitkan dengan Ardern dan polis juga memiliki gambar dan kapsyen yang sama.
Akaun yang digantung itu mengandungi kenyataan anti-Islam dan kebencian.
Jurucakap polis memberitahu NZ Herald: “Polis dimaklumkan mengenai perkara itu dan sedang melakukan siasatan lanjut.”
Jurucakap Twitter memaklumkan pihaknya telah mengambil tindakan selepas menerima laporan pertama mengenai kandungan hantaran tersebut.
“Pasukan kami telah menghapuskan kandungan yang melanggar dan menyalahi undang-undang susulan serangan pengganas di Christchurch,” jelasnya.











