PENGLIBATAN Hybrid Allied Dairy Company Sdn. Bhd. (HADC), sebuah syarikat tempatan yang menghasilkan produk susu segar jenama Summerfield mungkin masih baru dalam pasaran jika dibandingkan dengan beberapa pemain industri produk tenusu yang sudah lama bertapak di negara ini.
Bagaimanapun, HADC percaya mereka mampu mengukuhkan jenama Summerfield setanding dengan produk-produk pesaing kerana syarikat yang diasaskan sejak tahun 2012 itu komited menghasilkan produk susu berkualiti tinggi demi kepuasan dan keselamatan pengguna.
Berbekalkan keazaman itu, Pengarah Urusan HADC, Datuk Johannis Al-Arif Ibrahim berkata, antara keistimewaan produk susu Summerfield terletak pada proses pembersihan dan pensterilan botolnya kerana menggunakan teknologi air ozon dari Eropah dan yang pertama di Asia Tenggara.
“Susu segar keluaran syarikat kami bebas daripada penggunaan bahan kimia semasa menjalani proses pensterilan botol. Semua proses ini dilakukan di kilang kami di Kawasan Industri Sungai Choh di Serendah, Rawang, Selangor.
“Proses tersebut dijalankan sejak empat tahun lalu semasa kami mula memasuki pasaran. Ini merupakan antara perbezaan besar syarikat ini berbanding pemain-pemain industri seumpamanya di Malaysia,” katanya ketika ditemui K2 baru-baru ini.
Mengulas lanjut mengenai keistimewaan susu Summerfield, beliau berkata, produk ini melalui proses pempasteuran tinggi untuk memberikan jangka hayat produk sehingga 21 hari selain mengekalkan kandungan semula jadi nutrisi secara optimum.
Jelasnya lagi, kebaikan lain yang terdapat pada susu Summerfield adalah ia diperbuat daripada susu segar, tiada bahan pengawet dan rendah kandungan gula.
Johannis memberitahu, pengeluaran produk susu segar secara komersial dijalankan pertama kali pada September 2015 di sebuah kilang di Padang Hijau di Kluang, Johor, namun operasi pengeluaran berpindah ke kilang baharu di Serendah pada Julai 2017 sehingga kini.
Optimis
Beliau memaklumkan, produk keluaran Summerfield yang ditawarkan di pasaran ialah susu segar, susu segar rendah lemak selain memperkenalkan empat perisa iaitu susu kurma, cafe latte, coklat dan coklat karamel.
“Setakat ini, jualan paling laris adalah susu perisa kurma. Namun, penghasilan produk perisa ini paling mencabar kerana rasa manis semula jadi daripada pati kurma sebenar dan bacaan ujian kemanisan bagi kurma adalah tinggi. Jadi, ia satu cabaran untuk memastikan susu tersebut tidak terlalu manis.
“Dari segi harga produk susu segar dan susu berperisa keluaran syarikat ini pula, saya melihat ia agak kompetitif dalam kalangan pemain utama industri produk tenusu di negara ini,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, ketika ini purata kapasiti pengeluaran produk susu Summerfield adalah sebanyak tujuh hingga lapan tan sehari berbanding pada awal pengeluaran sebanyak 300 liter sahaja.
Susu Summerfield telah dipasarkan di lebih 500 pasar raya dan pasar raya besar di seluruh negara sehingga kini.
Tambah Johannis, berdasarkan prestasi semasa, syarikat tersebut menyasarkan peningkatan hasil jualan sebanyak 100 peratus pada tahun ini berbanding tahun lalu.
Bagaimanakah beliau melihat syarikat berkenaan dalam tempoh 10 tahun akan datang?, Johannis menjawab, beliau optimis terhadap pertumbuhan perniagaan dan berharap HADC mampu mengeksport produk susu ke luar negara.
“Satu-satunya cara kita boleh mengeksport ke luar negara adalah dengan memasarkan produk susu suhu ultra tinggi (UHT). Ini kerana apabila kita mendapat jangka hayat produk UHT sehingga 365 hari, anda boleh eksport ke mana-mana negara di dunia.
“Selain itu, dalam tempoh 10 tahun akan datang, saya fikir kita akan membuat pelaburan tambahan paling mungkin RM15 juta untuk menjadi pemain industri produk tenusu yang sempurna dalam kategori susu segar,” ujarnya.
Bagi mempelbagaikan lagi pilihan produk mereka kepada pengguna, HADC bakal melancarkan produk baharu iaitu yogurt set asli rendah lemak, yogurt set asli dan minuman yogurt perisa asli, mangga king, campuran beri, strawberi dan markisa pada bulan ini.










