SHAH ALAM – Bintang muda golf kebangsaan, Shahriffuddin Ariffin terkejut kerana berjaya mempamerkan aksi positif selepas berakhirnya pusingan pertama Kejohanan Maybank 2019 di Saujana Golf & Country Club, Shah Alam hari ini.
Shahriffuddin, 20, muncul pemain kedua terbaik negara di belakang Nicholas Fung apabila mencatat satu di bawah par 71 pukulan dengan meraih tiga birdie pada lubang pertama, kelima dan kelapan.
“Secara keseluruhan saya berpuas hati walaupun permulaan hari ini sedikit gementar tetapi saya masih berjaya mencatat dua di bawah par pada sembilan lubang pertama.
“Angin agak kuat pada sembilan lubang terakhir, jadi saya cuma fokus pada diri sendiri untuk meletakkan bola di atas fairway dan green selain tidak memikirkan mengenai pukulan pemain lain.
“Saya harap dapat melepasi cut dan mahu melakukan pukulan lebih ‘cantik’ esok,” kata pemenang Jelajah Persatuan Golf Malaysia itu.
Pada awalnya, Shahriffuddin mendahului senarai pemain terbaik negara sebelum kedudukan itu dipintas Nicholas yang memulakan saingan di sebelah petang dengan mencatatkan empat di bawah par 68 pukulan. – K! ONLINE











