Anggota KPDNHEP Negeri Sembilan menyamar penonton pawagam - Utusan Malaysia

Anggota KPDNHEP Negeri Sembilan menyamar penonton pawagam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan menempatkan anggotanya di dalam pawagam di sekitar negeri ini sejak 6 Mac lalu bagi memantau kegiatan cetak rompak.

Pengarahnya, Ain Arjuna Aziz Zaman berkata, anggota KPDNHEP itu menyamar sebagai penonton dan akan menahan individu tidak bertanggungjawab yang didapati merakam filem ditayangkan di pawagam.

“Operasi berterusan hingga ke hari ini. Setakat ini tiada tindakan curi rakam dikesan bagaimanapun pengguna diingatkan supaya tidak merakam filem semasa menonton di pawagam.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita kena hargai karya tempatan dan luar negara kerana mereka bekerja keras untuk karya mereka. Saya dimaklumkan kerugian akibat perbuatan curi rakam filem ini berbilion ringgit,” katanya pada sidang media Operasi Hak Cipta Membanteras Kegiatan Rakaman Dalam Panggung Wayang di sini hari ini.

Ain Arjuna berkata, perkembangan teknologi sebelum ini menyaksikan perubahan kegiatan cetak rompak fizikal dari era cakera padat (CD) kepada video cakera padat (VCD), cakera video digital (DVD) dan cakera Blue Ray.

Kata beliau, kini kegiatan cetak rompak telah beralih ke dalam bentuk digital kepada laman web tertentu seperti Youtube, Facebook, Instagram dan Twitter.

Justeru, beliau mengingatkan mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan itu boleh dikenakan tindakan dibawah Akta Hak Cipta 1987.

“Hukuman adalah denda minimum RM10,000 dan maksimum RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini