Rakyat Kedah perlukan air bersih berbanding projek mega - Utusan Malaysia

Rakyat Kedah perlukan air bersih berbanding projek mega

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 21 Mac – Rakyat negeri ini lebih memerlukan bekalan air bersih berbanding projek-projek mega yang diumumkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk Kedah, kelmarin.

Penolong Setiausaha Pemuda UMNO negeri, Nazar Ahmad Md. Noor berkata, ini termasuklah menggantikan paip-paip air yang usang sejauh 12,000 kilometer yang kini dianggarkan sudah berusia lebih setengah abad.

Kata beliau, di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini, telah menyatakan komitmen untuk menangani krisis bekalan air di kawasan terlibat termasuk Merbok dengan menaik taraf loji-loji air berjumlah RM980 juta.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam pada itu, beliau secara sinis turut mempersoalkan keikhlasan kerajaan PH mengumumkan projek bernilai RM3.2 bilion untuk Kedah itu, sedangkan rakyat sering kali digembar-gemburkan dengan beban hutang negara yang tinggi.

“Apakah semua ini sekali lagi sekadar janji dan retorik politik yang tidak ditunaikan, berdasarkan rekod pembohongan manifesto PH sebelum ini? soalnya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kelmarin, sebanyak tujuh projek yang bernilai RM3.2 bilion akan dilaksanakan di negeri ini bagi menarik pelaburan sekali gus menjana pendapatan kerajaan negeri, mewujudkan peluang-peluang pekerjaan baharu dan membantu golongan miskin.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, daripada tujuh projek itu, program kad pintar dikenali sebagai kad Kasih Ibu Darul Aman (KIDA) akan memberikan manfaat terus kepada rakyat termiskin.

Sementara itu, menurut Nazar Ahmad, selain tumpuan untuk mengatasi krisis air, kerajaan PH juga sepatutnya membela rakyat Kedah dengan memberi tumpuan terhadap nasib 62,000 keluarga petani, penoreh dan nelayan.

Katanya, hal demikian kerana golongan tersebut merupakan yang paling terkesan ekoran kenaikan pelbagai harga barang dan kos sara hidup.

“Pelancaran Kad KIDA (Kasih Ibu Darul Aman) yang membolehkan sebahagian kecil sahaja isi rumah miskin menikmatinya untuk tujuan membeli barangan asas, tidak dapat menyelesaikan isu teras yang dihadapi masyarakat kini.

“Ia sekadar satu pelan jangka pendek dan lebih malang sekiranya pemilihan peserta yang menerima kad itu nanti lebih bercorak politik iaitu melibatkan penyokong PH sahaja,” ujar beliau. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini