LONDON – Arsenal dilaporkan tidak lagi berminat untuk mengekalkan Denis Suarez secara tetap selepas pemain pinjaman dari Barcelona itu gagal mempamerkan aksi yang diharapkan sejak tiba di Emirates pada Januari lalu.
Pemain tengah itu ditawarkan kontrak secara pinjaman oleh pengurus The Gunners, Unai Emery dengan pilihan mengekalkannya secara tetap sekiranya kelab London itu sanggup menebus klausa pelepasan kontraknya pada musim depan.
Bagaimanapun, perpindahan yang bernilai sebanyak £18 juta (RM97 juta) itu dijangka tidak menjadi kenyataan selepas Emery dilaporkan sedang mencari pengganti kepada Suarez yang dilihat gagal menyesuaikan diri dengan corak permainan Liga Perdana England (EPL).
Difahamkan, Emery kini sedang meneliti beberapa pemain baharu untuk dibawa masuk pada musim depan dan antara nama yang menjadi perhatian adalah pemain tengah Paris Saint-Germain (PSG), Christopher Nkunku.
Selain itu, The Gunners turut berminat untuk mendapatkan bintang antarabangsa Senegal, Ismaila Sarr yang mempamerkan aksi cemerlang ketika Rennes menentang Arsenal dalam aksi kalah mati saingan Liga Europa baru-baru ini.
Rennes dipercayai mahu sekurang-kurangnya £25 juta (RM134.9 juta) daripada Arsenal sebelum memberi lampu hijau buat pemain sayap itu berhijrah ke London.
Arsenal kini sedang mengharungi kem latihan pusat di Dubai dan dijadualkan bertemu dengan kelab Al Nasr untuk aksi bersahabatan hari ini. – Agensi











