KUALA LUMPUR- Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) menerima sebanyak 821 aduan pengguna dalam tempoh enam bulan bermula Julai hingga Disember tahun lalu iaitu peningkatan aduan sebanyak 11.7 peratus berbanding tempoh sama tahun 2017.
MAVCOM dalam kenyataannya berkata, kepentingan pengguna penerbangan sentiasa menjadi perkara utama dalam pengendalian harian selain pengawal seliaan perniagaan industri penerbangan.
“Melindungi hak pengguna penerbangan merupakan prinsip penting kami, malah Mavcom melihat peningkatan aduan dalam tempoh berkenaan sebagai petunjuk tahap kesedaran pengguna mengenai hak-hak mereka.
“Suruhanjaya akan terus memupuk kesedaran sambil mendidik serta memperkasakan pengguna penerbangan mengenai hak-hak mereka melalui inisiatif pengenalan aplikasi mudah alih FlySmart pada November lalu,” katanya di sini semalam.
Menurut Mavcom, edisi kelima Laporan Pengguna tersebut menunjukkan daripada keseluruhan jumlah aduan itu, sebanyak 810 aduan dibuat terhadap syarikat penerbangan, manakala 11 aduan dibuat terhadap lapangan terbang.
“Sebanyak 573 aduan diterima tetapi tidak dapat dinilai dengan betul kerana butiran yang tidak lengkap.
“Malah sejumlah 139 aduan diterima, yang mana syarikat penerbangan atau lapangan terbang telah memberi penyelesaian yang adil dan selaras dengan keperluan Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC).
“Daripada jumlah itu juga, sebanyak 69 aduan yang dibuat lebih daripada setahun dari tarikh kejadian, iaitu di luar skop MACPC atau tidak berkaitan dengan industri penerbangan,” ujarnya.
Suruhanjaya tersebut meneruskan kadar kejayaan penyelesaian aduan yang tinggi iaitu sebanyak 99.6 peratus aduan berjaya diselesaikan dalam tempoh enam bulan.
Laporan tersebut turut memperincikan Malaysia Airlines mencatatkan sebanyak 413 aduan yang menunjukkan peningkatan sebanyak 41.9 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.
Ia diikuti oleh AirAsia dengan 230 aduan (kenaikan 36.1 peratus berbanding tempoh 1 Julai hingga 31 Disember 2017), manakala Malindo Air mencatatkan penurunan sebanyak 58.9 peratus dengan 69 aduan.











