Bekas pengarah syarikat besi buruk dipenjara dua minggu - Utusan Malaysia

Bekas pengarah syarikat besi buruk dipenjara dua minggu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Padah memalsukan dokumen untuk menipu, seorang bekas pengarah syarikat besi buruk dijatuhkan hukuman penjara selama dua minggu dan denda RM24,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini. 

Hakim S. Indra Nehru membuat keputusan tersebut selepas tertuduh, Thai Wai Kuan, 51, mengaku bersalah selepas enam pertuduhan terhadapnya dibacakan.

Mengikut semua pertuduhan, tertuduh didakwa memalsukan dokumen Weighing Slip Siputeh Sawit Sdn. Bhd. dengan niat agar dokumen palsu tersebut digunakan bagi tujuan menipu syarikat Camfill Farr Malaysia.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut di pejabat Strategic Metalpac Sdn. Bhd. di sini antara 4 Januari 2011 hingga 15 Januari 2013.

Dia didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaaan yang boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), S. Kumuthambal manakala tertuduh diwakili peguam bela, Mohd. Fadly Hashim.

Terdahulu, Mohd. Fadly dalam rayuan kepada anak guamnya memohon hukuman terhadap tertuduh telah insaf selain dia telah menutup syarikat berkenaan.

“Tertuduh juga merupakan satu-satunya anak yang menjaga ibunya yang menghidap penyakit parkinson dan dia juga menanggung isteri serta anak.

“Walaupun tidak dinyatakan anggaran kerugian, namun secara kasarnya kerugian dianggarkan bernilai RM12,000,” katanya.

Indra Nehru kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama dua minggu dan denda RM24,000 terhadap tertuduh. Jika dia tidak membayar denda berkenaan, tertuduh boleh dikenakan penjara tambahan selama enam bulan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini