KUALA SELANGOR – Seorang pelajar sekolah menengah maut selepas motosikal ditunggangi merempuh kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 44.3 Jalan Klang – Teluk Intan berdekatan Tesco Kuala Selangor, di sini malam tadi.
Kejadian berlaku pukul 9.25 malam, ketika Muhammad Azemi Yahya, 16, dalam perjalanan ke Klang dari Kuala Selangor.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Md. Asri A. Wahab berkata, sebuah MPV jenis Toyota Avanza yang dipandu lelaki berusia 56 tahun dari Klang kemudiannya telah memasuki simpang secara mengejut.
“Remaja berkenaan yang gagal mengelak telah melanggar MPV tersebut.
“Akibat kemalangan itu, mangsa yang parah di beberapa bahagian badan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Jelas beliau, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tanjong Karang (HTK) untuk proses bedah siasat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – K! ONLINE











