KUALA LUMPUR 19 Mac – Kesemua rumah pam di sekitar Seri Kembangan Selangor yang terjejas ekoran gangguan bekalan elektrik sejak petang semalam telah beroperasi semula manakala bekalan air dijangka pulih secara berperingkat.
Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd., Abdul Raof Ahmad berkata, berdasarkan bacaan tekanan dan pemantauan di tapak sehingga pukul 12 tengah hari ini pihaknya mendapati kebanyakan kawasan yang terjejas di Wilayah Petaling, Hulu Langat dan Sepang telah kembali pulih.
Sehubungan itu katanya, beberapa kawasan sedang dalam proses pemulihan secara berperingkat dengan peratusan pemulihan kini mencapai tahap 70 peratus.
“Bantuan air kecemasan melalui lori-lori tangki air terus digerakkan ke kawasan-kawasan yang masih terjejas sehingga bekalan pulih sepenuhnya.
“Kami juga mengaktifkan Pusat Khidmat Setempat (PKS) di Jalan PSK 9, Seri Kembangan bagi memberi bantuan kepada pelanggan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Abdul Raof, para pelanggan boleh merujuk aplikasi telefon pintar “Air Selangor” serta laman web www.syabas.com.my untuk status terkini yang akan dikemaskini dari semasa ke semasa. – UTUSAN ONLINE











