TANJONG KARANG – Seorang kanak-kanak perempuan berusia 5 tahun terpaksa menahan kesakitan hampir satu jam selepas nat itu tersekat pada jari kelingkingnya di Kampung Bukit Kuching, Jeram semalam.
Kejadian pukul 8 pagi dipercayai berlaku selepas mangsa bermain Nat berkenaan sebelum tersangkut pada jarinya itu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanjong Karang, Azmi Abbas berkata, bapa kanak-kanak itu kemudian membawa mangsa ke Hospital Tanjong Karang (HTK) selepas usaha mengeluarkannya tidak berhasil.
Katanya, seramai enam anggota termasuk pegawai kemudiannya dikejarkan ke HTK sebaik menerima panggilan kecemasan bagi khidmat khas itu.
“Kanak-kanak perempuan itu ditenangkan terlebih dahulu oleh pasukan perubatan sebelum operasi pemotongan dijalankan.
“Anggota bomba mengambil masa selama 10 minit bagi mengeluarkan nat berkenaan dengan menggunakan peralatan khas bagi memotong besi terbabit,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Azmi menjelaskan, kanak-kanak tersebut tidak mengalami kecederaan serius dengan operasi ditamatkan pukul 9.43 pagi. – K! ONLINE











