Kenapa kami dihalau? - Utusan Malaysia

Kenapa kami dihalau?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG 19 Mac – Setelah lebih seminggu petugas media ‘berkampung’ di Pusat Gerakan Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana di Menara Aqabah di sini bagi melalukan liputan pengurusan pencemaran toksik di Sungai Kim Kim, pengamal media ‘dihalau’ keluar.

Sebelum ini, petugas media dibenarkan berada dalam bangunan berkenaan malahan ada bilik yang dikhususkan untuk petugas media iaitu lokasi kebanyakan sidang akhbar dilakukan. 

Namun bermula hari ini, petugas media dimaklumkan mereka tidak lagi dibenarkan berada dalam bangunan tersebut dan sebaliknya perlu berada di luar. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Petugas media bagaimanapun hanya dibenarkan untuk memasuki bangunan berkenaan sekiranya terdapat sidang akhbar yang diadakan. 

 Sebelum ini hampir 100 pengamal media dari seluruh negara membuat liputan di menara tersebut seawal 8 pagi hingga 7 petang dan tidak mempunyai sebarang masalah walaupun sebelum ini terdapat masalah kecil melibatkan media dengan petugas di situ.

Pencemaran toksik di Sungai Kim Kim di sini yang berlarutan sejak 7 Mac lalu telah menjejaskan seramai lebih 4,000 penduduk setempat sehingga memaksa kerajaan menutup kesemua 111 sekolah di kawasan Pasir Gudang. 

Sementara itu, Presiden Kelab Media Johor (KMJ), Mohamad Fauzi Ishak berkata, KMJ mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana (JPBB) dan agensi yang terlibat dalam menguruskan bencana di Pasir Gudang.

“Sama seperti anda semua, kami juga bertungkus-lumus menjalankan tanggungjawab membantu menyalurkan maklumat yang tepat kepada rakyat khususnya di kawasan bencana.

“Oleh itu, adalah amat diharapkan agar kami juga diberikan layanan sewajarnya agar dapat kami menjalankan peranan dalam membantu kerajaan negeri,” jelas Mohamad Fauzi. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini