KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar diarah keluar dari Dewan Rakyat selama tiga hari bermula hari ini.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming berkata, arahan yang dikeluarkan di bawah Perkara 43 dan 44 Peraturan Mesyuarat berikutan tingkah laku Noh yang melemparkan tuduhan terhadap institusi Speaker serta mendakwanya tidak layak memegang jawatan itu pada persidangan Dewan Rakyat semalam.
“Sebagai Speaker tugas saya bukan sahaja mempengerusikan dewan ini dengan adil, saksama dan amanah. Tanggungjawab sebagai Speaker menghendaki saya menjaga, membela imej dan kewibawaan institusi Parlimen.
“Berdasarkan sikap Tanjung Karang yang tidak senonoh dan sengaja melakukan perbuatan menghina majlis mesyuarat atau tidak mengendahkan kuasa pengerusi, dengan tohmahan yang dilempar menuduh pengerusi mesyuarat tidak layak memegang jawatan adalah perbuatan menghina majlis mesyuarat atau ‘an open insult to the chair’ saya dengan ini memerintah Tanjung Karang keluar dari majlis mesyuarat selama tiga hari,” katanya.
Beliau membuat keputusan itu sebelum sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat, hari ini. – Bernama











