WALAUPUN saingan Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) di Ipoh, Perak dari 23 hingga 30 Mac ini tidak membawa sebarang erti untuk ranking dunia skuad hoki negara tetapi prestasi pada kejohanan jemputan tahunan itu amat penting sebelum bermulanya pusingan kelayakan Sukan Olimpik 2020 bulan depan.
Ia adalah ujian pertama buat Malaysian Tigers mempersiapkan diri seampuhnya dalam usaha meraih dua tiket pada Final Siri Hoki Dunia di Kuala Lumpur bermula 26 April hingga 4 Mei ini untuk layak ke pusingan kelayakan terakhir Sukan Olimpik 2020 dijadualkan September depan.
Sehubungan itu, ketua jurulatih, Roelant Oltmans mengambil langkah berani dengan menyenaraikan tujuh muka baharu yang tidak beraksi pada Piala Dunia 2018 untuk menggalas cabaran skuad negara dengan sasaran melangkah ke pentas final PSAS.
Antara tujuh muka baharu itu, Oltmans memberi peluang kepada dua pemain muda, Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal, 20, dan Muhammad Arif Syafie Ishak, 19, yang merupakan sebahagian daripada skuad juara Sukan Olimpik Remaja 2018, tersenarai dalam barisan 18 terbaik ke PSAS.
“Satu suasana yang cukup baik apabila tujuh pemain berbeza daripada skuad Piala Dunia 2018 akan beraksi di Ipoh kali ini termasuk Azrai Aizad dan Arif Syafie.
“Mereka berdua mempunyai masa depan yang cerah dan telah membuktikan kemampuan sepanjang kem latihan di sini (Kuantan, Pahang). Saya teruja untuk melihat bagaimana mereka cuba untuk menyerap tekanan apabila bermain dalam perlawanan antarabangsa sebenar.
“Pemain-pemain yang terpilih sememangnya layak diberikan peluang dan saya mahu melihat kebolehan semua pemain pada kejohanan ini,” kata Oltmans.
Lima lagi muka baharu yang terpilih daripada senarai 28 pelatih skuad kebangsaan ialah penjaga gol, Muhammad Zaimi Mat Deris, Luqman Nul Hakim Ahmad Shukran, Mohd. Ashran Hamsani, Muhammad Amirol Aideed Arshad dan Muhammad Najmi Farizal Jazlan.
Penjaga gol utama, S. Kumar, kapten pasukan, Mohamad Sukri Abdul Mutalib dan tonggak pertahanan, Syed Syafiq Syed Cholan tidak terpilih menghadapi PSAS kerana masih belum pulih daripada kecederaan.
Malaysian Tigers yang tidak pernah bergelar juara PSAS dengan pencapaian terbaik ialah naib juara sebanyak lima edisi, akan menghadapi cabaran daripada pilihan utama, India, Korea Selatan, Jepun, Kanada dan Poland pada kejohanan kali ini.











