Raih 11 anugerah, DJ Lin tak harap balasan

Raih 11 anugerah, DJ Lin tak harap balasan

DJ Lin
DJ Lin bersyukur bergelar Penyampai Radio Paling Dipercayai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBELAS trofi dalam tangan sedikit pun tidak membuatkan DJ Lin mendongak langit. Kakinya teguh berpasak di bumi, dia kekal berjiwa hamba. Tidak hairan, dia cukup disenangi ramai.

DJ Lin Roslinda Abd Majid, dedikasi dan komitmen sepanjang 23 tahun menggalas tugas sebagai penyampai radio di stesen Suria FM tanpa mengharapkan sebarang balasan.

“Kemenangan ini merupakan penghormatan sangat besar bagi saya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Secara tidak langsung memperkukuhkan lagi nama DJ Lin dalam industri radio di Malaysia. Rasanya setiap kali saya menerima anugerah memang rasa bersyukur.

“Sentiasa melafazkan kalimat Alhamdulillah dan saya anggap setiap kemenangan adalah ganjaran dari Allah di atas segala pengorbanan dalam dunia radio khususnya di Suria FM,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Ia sebagai reaksi selepas diumumkan sebagai Penyampai Radio Paling Dipercayai untuk dua tahun berturut-turut, anjuran majalah antarabangsa Reader’s Digest, 14 Jun lalu.

Menyedari setiap dari satu kemenangan yang diraih mempertingkatkan kredibiliti dan intergriti nama DJ Lin, resipinya adalah dengan berpegang pada pesan arwah ibunya iaitu Allahyarhamah Puteh Jantan.

“Itu juga menjadi daya ukuran dalam penglibatan bidang yang saya ceburi. Cuma, tidaklah saya merasakan terbeban bila menang anugerah.

“Pesan emak, biarlah dari hati yang penuh dengan keikhlasan, jangan harapkan balasan apabila melakukan sesuatu perkara.

“Sebab balasan atau ganjaran semua itu biarlah dari Allah.

“Lakukan apa cara sekali pun, kalau sudah rezeki kita, tetap akan datang. Sebagai manusia, berusaha buat yang terbaik dalam apa pun amanah yang digalas baik dalam urusan kerja mahupun perhubungan,” katanya.

Tak gentar dengan bayang sendiri

Pengurus Besar dan Ketua Stesen Radio Suria FM serta bertindak sebagai penyampai radio bagi segmen Suria Cinta, ini sedar semua itu tidak datang bergolek.

Selagi berkeupayaan dirinya akan terus menerajui dan membawa Suria FM ke fasa lebih prestij.

“Itu misi dan satu kepuasan untuk saya. Tidak perlu untuk saya takuti dengan bayang-bayang sendiri.

“Tambah pula dengan persaingan, malahan kompetitif yang sihat untuk mempertingkatkan prestasi diri.

“Orang akan sedari semua itu dan bukan kita yang menilai kemampuan diri sendiri tetapi orang sekeliling yang menjadi juri,” ujarnya.

Tanpa sokongan daripada semua pihak, beliau tidak akan berada pada tahap sekarang.

Justeru anugerah yang dirangkul akan menjadi pemangkin semangat untuk DJ Lin terus berusaha memberikan yang terbaik buat semua pendengar setia Suria FM, sekali gus mengangkat nama dan prestasi jenama stesen itu di tahap yang lebih membanggakan.

“Saya harap semua pencinta dunia radio dan peminat baru serta lama agar terus mendoakan kesihatan saya dan melaksanakan tugas amanah Allah dan memimpin Suria FM,” akhirinya. – UM

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×