Shaik Awish Alkirani Shaik Haronarashib, 26, pernah mewakili Perlis dan PKNP FC. Kecintaannya terhadap sukan bola sepak mendorongnya menubuhkan Akademi Bola Sepak Wira Muda (Akademi Wira Muda) bagi mencungkil bakat muda.
Katanya, akademi itu mampu menjadi platform terbaik kepada anak-anak muda di Pulau Pinang khasnya di Nibong Tebal untuk melangkah ke peringkat lebih tinggi dalam sukan bola sepak.
“Saya harap penubuhan Akademi Wira Muda mampu menjadi tapak terbaik buat anak tempatan merealisasikan impian menjadi pemain bola sepak terkemuka negara atau setidak-tidaknya mampu mewakili Pulau Pinang untuk tempoh lima hingga 10 tahun akan datang,” katanya kepada Mega Rona.
Anak kelahiran Bukit Mertajam itu mengalami kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) dan menjalani pembedahan sebanyak tiga kali pada lutut yang sama iaitu lutut kanan pada 2012, 2014 serta 2016.
Kecederaan tersebut membuatkan bapa kepada dua anak itu mengambil keputusan bersara daripada kancah bola sepak di peringkat profesional.
Sebelum ini, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Guar Perahu itu pernah beraksi untuk Perlis pada 2018, mewakili Kementerian Kewangan (Liga FAM, 2017), PKNP FC (2016), bersama Kelab Real Mulia untuk Piala FAM (2015) serta menyarung jersi Pulau Pinang untuk Piala Presiden (2012 hingga 2014).
Mengulas lanjut, Shaik Awish berkata, kecintaan itu mendorongnya untuk terus menabur bakti dalam sukan tersebut selain membentuk kumpulan pemain muda berpotensi menjadi pelapis.
Katanya, akademi yang ditubuhkan pada 1 Ogos 2018 itu menerusi suntikan dana daripada Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman merangkap penaung akademi. Malah, akademi itu juga berdaftar dengan Suruhanjaya Sukan dan kini berada di bawah naungan Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang.
Katanya, pada awal penubuhan seramai 80 pemain diterima masuk dan jumlah itu kini meningkat kepada 150 orang.
Jelasnya, kumpulan pemain yang dibentuk di bawah seliaannya menerima latihan asas dan mempelajari teknik tepat bola sepak berusia seawal empat tahun sehingga 14 tahun.
Tambahnya, rata-rata pemain yang dilatih adalah anak tempatan dari Nibong Tebal selain dari Bandar Baru, Pulau Pinang dan Parit Buntar, Perak.
“Mereka mendapat latihan sebanyak lapan kali sebulan dan yuran yang dikenakan adalah berpatutan. Sesi latihan diadakan pada setiap Sabtu dan Ahad.
“Sebanyak sembilan jurulatih yang merupakan bekas pemain negeri dan daerah memberi tunjuk ajar kepada pelatih yang mana latihan diadakan di Institut Latihan Kecemerlangan Mara Jawi, Nibong Tebal,” katanya.
Shaik Awish berkata, meskipun masih di peringkat awal latihan, namun kumpulan pelatih Akademi Wira Muda diberi kesempatan untuk merasai cabaran sebenar dengan menyertai pertandingan di peringkat luar.
Terbaru katanya, Akademi Wira Muda diberi pendedahan pertama untuk bertanding di Kuala Lumpur dan pencapaian terbaik melibatkan kategori bawah lapan tahun. Mereka berjaya menduduki tempat ketiga manakala bawah 10 dan 12 tahun mara sehingga ke peringkat suku akhir.
Jelasnya, pencapaian itu memberi kepuasan kepadanya dan jurulatih biarpun pasukan yang dibentuk itu masih ‘setahun jagung’.
Dalam pada itu katanya, dia juga menawarkan latihan peribadi kepada individu berminat terutama dalam meningkatkan kecergasan dan prestasi terbaik dalam sukan bola sepak yang diadakan di Padang Awam Jawi setiap hari bermula Isnin hingga Jumaat.
“Saya dan jurulatih turut membuka klinik latihan bola sepak di sekolah bagi melatih pelajar mengenai asas dan teknik bola sepak,” katanya.
Bercerita mengenai minatnya dalam sukan itu, Shaik Awish berkata, kecenderungannya bermula sejak kecil meskipun mendapat tentangan daripada bapa, Shaik Haronarashib Shaik Habil.
Dia yang bermain di posisi pertahanan tengah berkata, bapanya pernah menyorokkan kasut bolanya, tetapi kemudian memulangkannya setelah menyedari minatnya yang terlalu mendalam terhadap bola sepak.
“Saya pernah tidak dibenarkan keluar bermain bola pada waktu petang, tetapi saya menyusup keluar dari rumah ikut pintu belakang. Minat juga telah mendorong saya menyertai Akademi Bintang Biru semasa di sekolah dan Sekolah Sukan Mutiara Impian,” katanya.
Ibu bapa yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai Akademi Wira Muda boleh menghubunginya di talian 014-9027646 atau layari laman rasmi Facebook Akademi Bolasepak Wira Muda.











