Sektor pelancongan terjejas - Utusan Malaysia

Sektor pelancongan terjejas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA – Ramai pelancong asing yang menempah pakej pelancongan ke Indonesia bertindak membatalkan rancangan percutian mereka berikutan kebakaran hutan di Kalimantan dan Riau, demikian menurut portal berita tempo.co seperti dilaporkan akhbar Jakarta Post kelmarin.

Ketua Pusat Krisis Pelancongan di bawah Kementerian Pelancongan, Guntur Sakti memberitahu tempo.co bahawa pelancong dari Malaysia dan Singapura membatalkan rancangan untuk melawat gugusan kepulauan Indonesia disebabkan api masih marak.

“Terdapat laporan dari Riau, sebagai contoh, memaklumkan sekumpulan 31 pelancong Malaysia membatalkan perjalanan mereka ke Indonesia,” kata Guntur kelmarin.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pakej perjalanan kumpulan tersebut dikatakan bernilai hampir 62.5 juta rupiah (RM18,600).

Sebilangan pelancong lain dari Singapura turut membatalkan perjalanan ke Riau, dengan pakej mereka bernilai kira-kira 50 juta rupiah (RM14,900).

Menurut Guntur, kebakaran hutan itu juga mungkin menyebabkan pihak pentadbiran rantau terbabit menutup sementara lokasi tarikan pelancong di kawasan yang terjejas.

Kementerian Pelancongan Indonesia masih menilai kerugian yang bakal dihadapi oleh pemain-pemain industri pelancongan di enam wilayah terjejas akibat asap jerebu daripada kebakaran hutan tersebut.

Guntur menyeru pelancong yang kini berada di kawasan terjejas supaya memantau perkembangan terkini daripada pihak berkuasa berkaitan kebakaran hutan di Indonesia.

Beliau turut menasihatkan pelancong yang sudah membuat perancangan ke Riau supaya memilih destinasi lain dalam ribuan pulau-pulau di Indonesia. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×