Anwar hurai kepentingan DNA23, bantu ekonomi Sabah - Utusan Malaysia

Anwar hurai kepentingan DNA23, bantu ekonomi Sabah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 17 Sept. – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan kepentingan mengenai pendekatan Digital Native Agenda (DNA23) yang dilihat boleh dijadikan landasan baharu menstruktur ekonomi negara termasuk membantu menangani kemiskinan di Sabah.

DNA23 bertujuan memperkasakan pihak berkepentingan dalam landskap digital negara.

Menurut Anwar, DNA23 turut memberi penekanan berasaskan digital demi membuka pintu kepada golongan berpendapatan rendah termasuk di Sabah bagi menerokai landskap ekonomi baharu yang tidak pernah difikirkan sebelum ini.

Baginya, selain memberikan tumpuan kepada usaha menangani masalah ekonomi asas di bawah tangggungjawab kementerian tertentu, DNA23 boleh memberi alternatif baharu bagi menyelesaikan perkara itu.

“Umpamanya suku kaum Rungus (di Sabah), mereka menghasilkan manik yang sangat cantik. Kemudian melalui aplikasi, produk itu dipopularkan dan sekarang orang beli sampai di Itali.

“Ini maksud saya ekonomi digital, tolong orang miskin. Bukan untuk bantu orang kaya sahaja. Masyarakat Rungus yang tidak pernah kenal pasaran luar dari Sabah, sekarang boleh jual manik dia ke Itali,” katanya ketika sesi soal jawab bersama mahasiswa Universiti Malayisa Sabah (UMS) di Kota Kinabalu, Sabah, malam ini.

Sesi tersebut juga disiarkan secara langsung menerusi laman media sosial Facebook.

Dalam sesi berlangsung hampir satu jam 30 minit itu juga, Ahli Port Dickson tersebut yang memegang status sebagai calon Perdana Menteri kelapan turut mengulangi komitmen kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk memastikan pembangunan seimbang termasuk di Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak.

Tegas Anwar, meskipun orang ramai mengutarakan kepentingan untuk membasmi kemiskinan semata-mata, beliau tidak mahu kemajuan digital yang boleh memberi manfaat diabaikan begitu sahaja.

Beliau juga berharap sentimen kaum, kabilah dan kenegerian tidak dimainkan dalam isu-isu membasmi kemiskinan.

Jelasnya, punca kemiskinan turut berlaku kerana sikap pemimpin setempat sendiri yang hanya mementingkan diri sehingga mengakibatkan rakyat menjadi miskin.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×