Bah di Johor semakin baik, jumlah mangsa berkurangan - Utusan Malaysia

Bah di Johor semakin baik, jumlah mangsa berkurangan

PENDUDUK membawa keluar barang dan perkakas rumah yang ditenggelami air untuk dibersihkan dan dibuang di Kampung Jawa, Chaah, Segamat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Situasi banjir di negeri ini terus menunjukkan perkembangan positif apabila jumlah mangsa berkurangan menjadi 40,786 orang daripada 11,464 keluarga yang masih ditempatkan di 136 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 12 tengah hari tadi.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani berkata, jumlah itu berkurangan berbanding 40,847 orang daripada 11,496 keluarga di 136 PPS di empat daerah yang masih terjejas setakat pukul 8 pagi tadi.

Beliau berkata, fenomena air pasang besar di Batu Pahat yang berlaku sehingga semalam menyebabkan paras air banjir meningkat walaupun cuaca cerah sejak beberapa hari lalu.

“Keadaan itu menyebabkan mangsa banjir di Batu Pahat mencatatkan sedikit peningkatan menjadi 39,301 penduduk daripada 10,963 keluarga di 112 PPS.

“Namun, jumlah mangsa di Muar berkurangan menjadi 635 penduduk daripada 197 keluarga di tujuh PPS di daerah terbabit,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata, banjir termenung di Segamat dan Tangkak menyebabkan jumlah mangsa tidak berubah, iaitu masing-masing dengan seramai 234 mangsa daripada 63 keluarga di sembilan PPS dan 576 mangsa daripada 241 keluarga di lapan PPS.

Sebanyak lima sungai masih berada di bawah paras berbahaya, antaranya Sungai Muar di Bukit Kepong, Muar serta Sungai Bekok, Sungai Simpang Kiri dan Sungai Senggarang di Batu Pahat.

Empat laluan di Batu Pahat membabitkan Jambatan Sri Dayung, Jambatan Parit Jambi, Simpang Parit Jalil dan Klinik Kesihatan Sri Medan ditutup untuk semua jenis kenderaan.

Turut ditutup untuk semua jenis kenderaan ialah jalan di Asrama Pekerja FTPSB Kahang Barat (cerun runtuh) dan Jambatan GSA Chamek (jambatan rosak) di Kluang dan Jalan Ulu Tebrau-Sungai Tiram di Kulai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya