KUALA LUMPUR 17 Sept. – Persaingan memburu tiket perseorangan lelaki Sukan Olimpik Tokyo 2020 semakin menarik apabila Liew Daren meneruskan kemaraan ke pusingan kedua kejohanan badminton Terbuka China pada ketika langkah pemain No. 1 negara, Lee Zii Jia tersekat di pusingan pembukaan, hari ini.
Zii Jia, 21, memberi tentangan sengit kepada juara Olimpik, Chen Long dari China sebelum tewas 16-21, 21-12, 21-23 di Pusat Sukan Olimpik Xincheng, Changzhou.
Ini adalah kali kedua berturut-turut Zii Jia tewas kepada juara dunia dua kali itu, dan kedua-dua perlawanan berlangsung sengit.
Berita berkaitan:
Zii Jia yang menghuni ranking ke-13 dunia sebelum ini turut tumbang kepada Chen Long pada Terbuka Indonesia, Julai lalu 16-21, 21-19, 20-22.
Sementara itu, Daren yang kini bergerak profesional mengalahkan pemain Thailand, Sitthikom Thammasi 13-21, 21-19, 21-15 untuk bertemu Kanta Tsuneyama dari Jepun esok.
Turut mara naib juara beregu lelaki Olimpik 2016, Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang menang mudah 21-6, 21-9 ke atas pasangan Belanda, Jelle Maas-Robin Tabeling.
Menanti mereka di pusingan kedua esok adalah beregu Denmark, Mathias Boe-Mads Conrad-Petersen. – UTUSAN ONLINE











