Siasat syarikat kes pekerja mati dihempap kayu palet - Utusan Malaysia

Siasat syarikat kes pekerja mati dihempap kayu palet

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 6 Mei – Pihak berkuasa perlu menyiasat syarikat terlibat dalam insiden kematian dua lelaki warga Bangladesh yang dihempap timbunan kotak kurma semalam sama ada mempunyai Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan atau tidak.

 

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) 1994, mana-mana tempat bekerja yang mempunyai 40 atau lebih pekerja perlu menubuhkan Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan yang dianggotai wakil-wakil majikan serta pekerja.

Katanya, fungsi jawatankuasa tersebut adalah untuk mengkaji prosedur keselamatan dan kesihatan di tempat kerja, menyiasat sebarang aduan atau perkara berkaitan yang dibangkitkan dan mengadakan perbincangan secara tetap dengan majikan mengenai isu-isu berkaitan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

“OSHA didasarkan pada falsafah ‘self-regulation’ (kawal selia kendiri) dan di bawah akta tersebut, semua pihak termasuk majikan, pekerja, mereka yang bekerja sendiri, pereka, pengeluar, pengimport, pengilang dan vendor bertanggungjawab untuk memastikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja .

“Seksyen 15 (2) (a) OSHA juga menetapkan majikan membuat persediaan sistem kerja dan penyelenggaraan, setakat yang praktik, adalah selamat dan tiada risiko kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam kejadian semalam, kedua-dua mangsa berusia 40-an maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala selepas dihempap kayu palet yang mengandungi kotak buah kurma di sebuah gudang di Kawasan Perindustrian Bukit Minyak. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×