Rakyat Melaka mula ambil langkah berjaga-jaga - Utusan Malaysia

Rakyat Melaka mula ambil langkah berjaga-jaga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA 10 Sept. – Rakyat di negeri ini mula mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan kesihatan mereka tidak terjejas berikutan keadaan jerebu yang sedang melanda beberapa daerah di negeri ini terutamanya di Alor Gajah dan Bukit Rambai.

Dua lokasi tersebut mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat 3 petang ini.

Berdasarkan bacaan yang dipaparkan laman web http://apims.doe.gov.my, Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) Alor Gajah merekodkan bacaan IPU 102 dan Bukit Rambai pada 103.

Tinjauan mendapati aktiviti penduduk di negeri ini berjalan seperti biasa namun kabanyakan mereka mula mengambil inisiatif memakai topeng penutup hidung dan mulut ketika berada di luar kawasan rumah.

Suri rumah, Nadzirah Roslan, 30, dari Gadek di sini keadaan jerebu itu memaksanya mengehadkan aktiviti di luar rumah dan memastikan udara di dalam rumah sentiasa bersih dengan menghindarkan pencemaran asap rokok serta menutup tingkap rumah bagi mengelakkan asap jerebu memasuki rumah.

“Sekiranya ingin keluar membeli barang keperluan, saya akan memastikan saya dan anak-anak memakai topeng bagi mengelak (mereka) terdedah kepada masalah kesihatan lain,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, seorang pengayuh beca di Bandar Hilir, Ahmad Alias, 50, berkata fenomena jerebu yang kini melanda negeri ini memberi kesan kepada kesihatan dirinya sehingga menyebabkan mata berair, pedih, tekak rasa kering dan kadang kala sukar bernafas.

“Memandangkan sumber pendapatan saya bergantung kepada aktiviti mengayuh beca, saya tidak dapat mengelak diri daripada jerebu ini, namun saya perlu sentiasa memakai penutup muka di samping meminum air kosong yang banyak,” katanya.

Seorang kakitangan awam, Noor Azmi Hamdan, 55, pula berkata, dia berharap kejadian jerebu ini tidak bertambah teruk hingga mengganggu kesihatan serta kesejahte raan masyarakat di negeri ini.

“Selain mengelak melakukan pembakaran terbuka, saya cuba untuk sentiasa berada di dalam bangunan selain membasuh tangan dan muka dengan sabun serta air bersih selepas melakukan aktiviti luar,” katanya dari Batu Berendam di sini.

Seorang pekerja swasta, Norizah Atin, 34, dari Tangkak, Johor berkata beliau sama sekali tidak membenarkan anak-anaknya keluar dari rumah tanpa mengenakan topeng muka dan meminum air masak secukupnya setiap hari.

“Apatah lagi seorang anak lelaki saya yang berusia tujuh tahun menghidap asma, jerebu memang membahayakan lebih-lebih lagi kepada mereka yang menghadapi alergi pada kulit seperti saya, sudah tentu membuatkan kulit saya kerap merasa gatal,” katanya.- BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×