Tips 3S: Muat aktiviti bermanfaat sepanjang PKPB - Utusan Malaysia

Tips 3S: Muat aktiviti bermanfaat sepanjang PKPB

AKTIVITI berkebun baik untuk kanak-kanak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) selama sebulan diumumkan bagi semua negeri di Semenanjung kecuali Perlis, Kelantan dan Pahang sedikit sebanyak mengundang pelbagai emosi bagi anak-anak dan juga ibu bapa.

Walaupun situasi ini tidak mudah untuk diterima tetapi ibu bapa seharusnya pantas mengatur pelbagai strategi menyeimbangkan rutin bekerja dari rumah dengan rutin mengurus ahli keluarga bagi menjamin kesejahteraan sekeluarga.

Ikuti tips Seronok, Sihat dan Seimbang (3S) boleh diamalkan untuk menangani mengisi waktu terluang.

SERONOK
Anak-anak dan bermain tidak boleh dipisahkan. Pelbagai jenis permainan selamat boleh diciptakan untuk mereka. Aktiviti bermain, bukan sahaja sebagai mengisi masa lapang dan penyelamat kepada kebosanan, malahan ianya amat penting dalam menyokong perkembangan fizikal, kognitif, sosial dan emosi anak-anak.

Antaranya:
* Permainan papan (board games) seperti Saidina/ Monopoly, Dam Haji, Dam Ular, Catur dan Scrabble antara pilihan permainan boleh dimainkan oleh pelbagai peringkat umur.

* Permainan tradisional seperti congkak, batu Seremban, baling tin dan teng-teng juga tidak kurang seronoknya. Tambahan pula, pemain boleh memilih untuk memainkannya dalam satu pusingan atau beberapa pusingan.

* Objek sedia ada di rumah juga merupakan sumber permainan. Bagi anak-anak yang lebih kecil, segala objek sedia ada di rumah boleh diolah menjadi permainan mengujakan bagi mereka.

* Aktiviti berkebun mampu memberikan keseronokan jika dilakukan bersama anak-anak. Apa kata setiap anak menanam sejenis sayuran dan masing-masing perlu menjaganya dengan teliti.

Jika ibu bapa tiada pengalaman dan kekurangan pengetahuan mengenai tanaman sayuran, boleh saja melayari internet bersama anak kerana banyak panduan menanam sayur dapat dipelajari. Lebih mengujakan apabila melihat proses tumbesarannya setiap hari hingga mendapat hasil yang boleh dituai!

SIHAT
Kesihatan diri perlu diambil berat. Pastikan isi rumah melakukan aktiviti fizikal dan mengamalkan pemakanan sihat. Jadikan anak-anak cef dalam keluarga. Pasti anak-anak suka dan bangga apabila mereka turut terbabit dalam menyediakan makanan dan minuman yang turut dinikmati oleh semua ahli keluarga. Paling penting, mereka turut memperoleh pengetahuan dan kemahiran penting untuk mengurus makan sekurang-kurangnya untuk keperluan diri sendiri.

SEIMBANG
Aspek yang agak mencabar bagi ibu bapa ialah untuk mengaturkan aktiviti Seimbang bagi anak-anak yang menggabungkan elemen belajar namun dalam masa yang sama ianya menghiburkan anak-anak. Unsur hiburan penting bagi mengelakkan anak-anak merasa bosan menjalani rutin belajar sendiri di rumah semasa PKPB.

Manfaatkan kelebihan teknologi serta kemudahan internet yang ada untuk anak-anak meneroka maklumat dan pengetahuan terkini di samping mempelajari kemahiran yang baru. Terdapat pelbagai video pembelajaran yang menyalurkan pelbagai maklumat yang meliputi bermacam-macam subjek seperti Sains, Matematik, Bahasa dan sebagainya. Bagi anak-anak yang mempunyai kecerdasan visual, pembelajaran melalui tontonan video ini amat membantu mereka menguasai maklumat dan ilmu yang disampaikan dengan cara yang lebih berkesan.

Sebagai tambah nilai, terdapat juga pembelajaran secara maya yang turut memberikan penghargaan dalam bentuk sijil sejurus anak-anak selesai sesuatu tahap pembelajaran. Pemberian sijil ini amat memotivasikan serta merupakan pemangkin kepada anak-anak untuk terus meneroka ilmu baru. Pengetahuan dan kemahiran yang baru boleh dipraktikkan dalam kehidupan harian bagi memberi nilai tambah kepada kemahiran dan ilmu yang dipelajari di sekolah.

PERTANDINGAN
Menyertai sebarang bentuk pertandingan juga sangat bermanfaat bagi mengisi masa lapang anak-anak. Selain dapat mengelakkan kebosanan, penyertaan dalam pelbagai pertandingan amat bermanfaat kerana ianya mampu mencabar pengetahuan, kreativiti dan pengetahuan anak-anak.

Berikan galakan, bantuan dan sokongan mental dan moral kepada anak-anak untuk menyertai pertandingan yang dianjurkan oleh pelbagai pihak. Ini dapat memupuk rasa yakin terhadap diri sendiri dan pastinya mereka akan rasa gembira menyiapkan cabaran yang diberikan hasil sokongan yang diberikan oleh ibu bapa.

Permainan berbentuk pendidikan juga amat bermanfaat kerana bentuk permainan ini membantu mengukuhkan pengetahuan, kefahaman dan kemahiran yang telah diajar oleh guru di sekolah.

Pelbagai bentuk permainan pendidikan boleh didapati secara percuma mahupun yang berbentuk berbayar boleh dicuba oleh anak-anak.

Namun harus dititikberatkan, ibu bapa memainkan peranan penting dalam memantau penggunaan gajet, kandungan yang dilayari serta masa skrin anak-anak. Pemantauan ini penting bagi memastikan anak-anak mendapat manfaat yang optimum dari penggunaan teknologi sekaligus menghindari sebarang kemudaratan kesan dari penyalahgunaannya.

SELAMAT
Sebagai ibu bapa yang cakna akan keperluan dan perkembangan anak-anak, sama-samalah kita pastikan anak-anak sentiasa dalam keadaan selamat dan sejahtera. Aktiviti 3S (Seronok, Sihat dan Seimbang) sedikit sebanyak diharap berupaya membantu anak-anak menjalani fasa PKPB dengan bermanfaat sekaligus mengurangkan kebosanan mereka sepanjang berada di rumah.

Sebagai warga Malaysia yang bertanggungjawab, marilah kita mainkan peranan kita memutuskan rangkaian Covid-19 dengan terus memastikan anak-anak terus berada di rumah di samping menjalani rutin dan kehidupan yang selamat dan sejahtera dalam jagaan kita.

Penulis adalah Pensyarah, Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×