KUALA LUMPUR: Dianggarkan RM300 juta akan dibelanjakan bagi Projek Rangkaian Digital Lebuh Raya untuk pemasangan kabel gentian optik di sepanjang Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) secara berperingkat dari Johor Bahru ke Bukit Kayu Hitam, Perlis, dijangka siap hujung tahun ini.
Pengarah Urusan MSA Resources (MSAR) Sdn. Bhd., Saiful Husni Samak berkata, kos keseluruhan itu adalah untuk projek pembinaan fasa 1 setelah kajian kebolehlaksanaan dilakukan, manakala anggaran kos bagi fasa 2 (Lembah Klang) dan fasa 3 (negeri-negeri Pantai Timur) masih dalam proses perkiraan.
“Kami belum membuat sebarang kajian lagi, tetapi, mengikut jejak rekod dalam masa enam bulan sudah boleh digerakkan (mobilized). Kalau ada keperluan untuk pergi ke kawasan lain insyaAllah boleh.
“Rangkaian baharu ini menawarkan ketersambungan kepada pembangunan industri baharu dan sedia ada di sepanjang lebuh raya dan bertindak sebagai saluran menerima pakai teknologi masa hadapan seperti internet kebendaan (IoT), kenderaan autonomi dan aplikasi bandar pintar,” katanya dalam sidang media, semalam.
MSAR merupakan syarikat penyedia telekomunikasi menyediakan rangkaian penuh perkhidmatan telekomunikasi domestik dan antarabangsa dan penerima Hak Izin Lalu (RoW) pada 2016 untuk membina, memiliki dan mengendalikan kabel gentian optik di 29 lebuh raya di Semenanjung.
MSAR sedang membina infrastruktur telekomunikasi baharu menghubungkan dua sempadan negara (Thailand-Malaysia-Singapura) dalam tiga fasa.
Semalam, Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof merasmikan projek yang mempunyai 4,000 titik hubungan menghubungkan bandar-bandar dan kawasan luar bandar dengan liputan jalur lebar yang tinggi, sekali gus dapat dinikmati rakyat.
Majlis itu antara lain bertujuan menandatangani perjanjian persefahaman MSAR dengan rakan strategik PLUS Berhad, Arus Restu Sdn. Bhd., MIDF Amanah Investment Bank Berhad, Ciena Corporation, Starhub Ltd. dan GDS Inc Pte. Ltd.
Sementara itu, Fadillah dalam ucapannya berkata, projek itu diyakini memacu pelaburan asing oleh industri gergasi global dalam bentuk pusat data baharu yang didorong oleh kesediaan telekomunikasi sangat terjamin di sepanjang rangkaian lebuhraya negara ini.
“Ketersediaan infrastruktur rangkaian digital, liputan jalur lebar, akses terbuka dan tawaran harga kompetitif daripada semua penyedia telekomunikasi akan memberi manfaat kepada masyarakat, perusahaan kecil dan sederhana serta sektor perkhidmatan lain.
“Ini akan meningkatkan dan mengukuhkan penyampaian perkhidmatan awam atas talian seperti kesihatan awam, akses terus kepada pendidikan, sistem pengangkutan dan logistik,” katanya. – UTUSAN










