Pastikan penagih tercicir dipulih

Pastikan penagih tercicir dipulih

SUTEKNO AHMAD BELON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

SERAMAI 123,139 penagih dadah dikesan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sepanjang 2021. Jumlah tersebut diperoleh hasil pelbagai tindakan termasuk secara perundangan, pemujukan serta sukarela.

Bagaimanapun, jumlah itu bukanlah suatu keselesaan bagi AADK kerana Kajian Prevalen Penagihan Dadah Tahun 2022 oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendapati bagi setiap penagih, empat orang lagi belum dapat dikesan dan masih bebas menagih.

Berdasarkan kepada nisbah tersebut, Ketua Pengarah AADK, SUTEKNO AHMAD BELON dalam temu bual bersama wartawan Utusan Malaysia, MOHD. HAFIZ YUSOF BAKRI mendedahkan, dianggarkan 493,556 lagi penagih gagal dikesan sekali gus tidak mendapat rawatan pemulihan sewajarnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, AADK mengorak langkah memperkenalkan perkhidmatan baharu iaitu Rawatan dan Pemulihan Bergerak (MRT) yang menyasarkan penagih yang tercicir untuk mendapatkan rawatan.

UTUSAN: Berapa jumlah penagih dadah yang sedang mengikuti program rawatan dan pemulihan AADK?
SUTEKNO: Pada 2021, klien AADK bagi program Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti (RPDK) berjumlah 73,113 orang dan program Rawatan dan Pemulihan Dalam Institusi (RPDI) pula 7,133 orang. Setiap tahun, secara purata kira-kira 15,000 klien ini selesai menjalani proses rawat pulih masalah penagihan masing-masing.

Kadar kepulihan klien berdasarkan kepada jumlah tersebut menyaksikan sekitar 65 peratus (5,877 klien) AADK kembali menagih. Kajian Prevalen Penagihan Dadah Tahun 2022 yang dijalankan oleh KDN bersama UKM mendapati bagi setiap orang penagih yang dikesan, masih terdapat empat orang lagi belum dapat dikesan dan masih bebas menagih.

Mengikut rekod AADK, seramai 123,139 penagih dikesan pada 2021. Daripada jumlah itu, anggaran penagih yang masih tidak dapat dikesan dan menerima rawatan sewajarnya adalah 492,556 orang.

Apa itu MRT AADK?
Ia adalah perkhidmatan disediakan kepada kumpulan khusus yang diklasifikasikan sebagai tercicir daripada mendapat rawatan dan pemulihan sama ada oleh AADK mahupun pusat pemulihan persendirian.

Kumpulan tercicir ini tidak dapat atau kurang akses kepada program rawatan dan pemulihan. Mungkin sukar hadir ke fasiliti AADK atas sebab kekangan perundangan, peraturan, kewangan atau logistik. Ada juga tidak tahu atau malu untuk mengikuti program.
P

asukan MRT AADK ditubuhkan di 14 pejabat AADK di seluruh negara. Setakat ini ada 28 pasukan dianggotai 108 pegawai pemulihan berkemahiran, berpengalaman dan terlatih dalam rawatan dan pemulihan penagihan dadah.

MRT AADK menggunakan kaedah sama, iaitu perundangan untuk memberikan rawatan dan pemulihan?
MRT AADK bertujuan menggalakkan rawatan dan pemulihan secara sukarela. Kaedah ini dibuat sebelum ini menerusi kemasukan ke Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) secara sukarela di Sungai Besi (Kuala Lumpur), Jerantut (Pahang) dan Bukit Mertajam (Pulau Pinang). Kaedah rawatan dan pemulihan itu tidak dinafikan antara penyumbang kepada kadar kepulihan klien, namun ia perlu ditambah baik mengikut keperluan penagih. Kaedah tersebut dibuat dengan cara penagih datang kepada kita untuk mendapatkan perkhidmatan rawatan dan pemulihan.

Pun begitu, AADK merasakan perlunya perkhidmatan bergerak yang membolehkan pakar-pakar AADK turun padang berjumpa dengan masyarakat secara langsung.

Kaedah ini dilihat memudahkan masyarakat, mesra pengguna dan lebih berkesan berbanding hanya menunggu mereka datang kepada AADK. Tambahan pula, MRT AADK yang menawarkan perkhidmatan secara bergerak dan pendekatan berasaskan komuniti mudah dijangkau oleh masyarakat kerana program ditawarkan adalah lebih fleksibel yang mana pakej rawatan dan pemulihan disesuaikan mengikut keperluan klien.

Sejauh mana ia mampu menarik penagih datang secara sukarela?
Projek rintis MRT AADK dilaksanakan kepada 18 banduan yang terlibat dengan penagihan dadah pada 2021 di Penjara Kajang. Hasil sesi yang dijalankan mendapat respons amat baik daripada banduan terlibat. Rata-rata mereka gembira dan selesa dengan pakej rawatan dan pemulihan MRT AADK, malah ada mahukan program sedemikian diperluas pada masa akan datang.

Lebih menarik, perkhidmatan MRT AADK tidak memerlukan mereka ditempatkan di Puspen. Akses yang mudah, fleksibel dan disesuaikan dengan klien juga antara faktor penarik kepada perkhidmatan ini.

Perancangan AADK dalam memperluaskan perkhidmatan baharu ini?
Perkhidmatan MRT AADK telah digerakkan di seluruh negara melalui pejabat AADK negeri sejak dilancarkan pada 20 Mei lalu. Usaha ini akan digandakan lagi bagi memastikan sasaran untuk menjejaki penagih tercicir dalam mendapatkan rawatan dan pemulihan dapat diatasi sepenuhnya.

Selain itu, beberapa agensi menyatakan minat untuk bekerjasama dengan AADK antaranya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). JKM telah membuat persiapan untuk menggunakan perkhidmatan MRT AADK ini bagi merawat pulih klien-klien mereka tanpa perlu meninggalkan premis masing-masing dan tidak menjejaskan program pemulihan lain yang sedang dihadiri mereka.

Harapan tuan mengenai MRT AADK?
Harapan saya agar semua warga AADK menjadikan MRT AADK ini sebagai alternatif baharu bagi program rawat pulih klien agar kitaran perkhidmatan itu boleh dilaksanakan secara menyeluruh. Saya juga berharap MRT AADK dapat digarap dalam satu bentuk kerjasama kukuh warga AADK untuk memastikan tiada lagi kumpulan tercicir dalam mendapatkan rawatan dan pemulihan.

Percayalah, anda boleh dipulihkan. Datanglah kepada kami atau kami terus pergi kepada anda untuk membantu keluar daripada ketagihan dadah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×