Dana tunai ketika inflasi melonjak

Dana tunai ketika inflasi melonjak

SEORANG suri rumah melihat minyak masak botol ketika tinjauan di sebuah pasar raya di Cheras, Kuala Lumpur, semalam. Kerajaan mengumumkan bantuan tunai kepada golongan miskin selepas menghapuskan subsidi untuk barangan tertentu termasuk ayam, telur dan minyak masak botol. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan mengumumkan bantuan tunai langsung kepada golongan miskin selepas memutuskan menghapuskan subsidi untuk beberapa barangan keperluan termasuk ayam, telur dan minyak masak botol.

Penghapusan subsidi itu yang akan menyebabkan harga barangan itu meningkat bermula 1 Julai akan memberi kesan langsung kepada pengguna dengan indeks inflasi dijangka melonjak ke paras tertinggi dalam terdekat.

Kerajaan akan menyalurkan peruntukan tambahan RM630 juta yang akan dimanfaatkan 8.6 juta kumpulan sasaran.

Bantuan tunai itu akan disalurkan melalui Bantuan Keluarga Malaysia (BKM).

Sebelum kerajaan telah membelanjakan berbilion ringgit sebagai subsidi yang mana sebahagian besar disalahgunakan oleh pihak tertentu terutama minyak masak botol.

Putrajaya dijangka membelanjakan RM71 bilion dalam bentuk subsidi tahun ini termasuk RM30 bilion untuk minyak kenderaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika mengumumkan perkara itu melibatkan pemberian tambahan RM100 untuk golongan isi rumah dan RM50 untuk golongan bujang yang akan ditambah dalam Bayaran Fasa 2 BKM yang pada asalnya berjumlah RM1.11 bilion.

“Ia melibatkan penerima merangkumi empat juta isi rumah, 1.2 juta warga emas (bujang/tiada pasangan) dan 3.4 juta individu bujang dan setiap penerima yang layak akan menerima bayaran secara berperingkat mulai 27 Jun ini melibatkan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM1.74 bilion.

“Pembayaran ini juga bagi meringankan beban kewangan golongan B40 terutamanya dalam menyambut Aidiladha tidak lama lagi dan semakan status pembayaran boleh dibuat bermula 27 Jun melalui pautan https://bkm.hasil.gov.my,” katanya dalam sidang akhbar khas di sini semalam.

BKM merupakan inisiatif bantuan tunai langsung yang diumumkan dalam Belanjawan 2022 bagi memanfaatkan golongan B40 dan telah memanfaatkan seramai 8.6 juta penerima diluluskan dengan isi rumah bakal menerima sehingga RM2,500 pada tahun 2022.

Bantuan itu merupakan yang tertinggi setakat ini yang pernah diberikan oleh mana-mana kerajaan.

Ismail Sabri berkata, kerajaan sentiasa cakna dengan keperluan semasa terutamanya melibatkan kenaikan harga barangan keperluan dan akan terus komited dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia terutamanya kumpulan sasar.

Perdana Menteri turut menjelaskan, kerajaan masih mengekalkan subsidi minyak masak dengan jumlah sebanyak RM4 bilion untuk tahun ini berbanding RM500 juta pada tahun 2020 dan RM2.2 bilion pada 2021.

Subsidi yang ditanggung kerajaan ini adalah untuk kategori minyak masak kampit RM2.50 bagi satu kilogram (kg) sahaja, berbanding harga pasaran sebenar, RM9 bagi satu kg untuk kegunaan Keluarga Malaysia golongan B40 yang telah bermula sejak Jun 2007.

Katanya, minyak masak yang disubsidi kerajaan ialah sebanyak 60,000 tan metrik sebulan, melebihi daripada keperluan sebenar pengguna iaitu sebanyak 55,000 tan metrik sebulan.

Bagaimanapun, sewaktu pandemik Covid-19, kerajaan memperkenalkan program subsidi sementara untuk minyak masak berbotol bagi 1kg, 2kg, 3kg dan 5kg, pada Ogos 2021 bagi membantu Keluarga Malaysia yang ketika itu terkesan akibat pandemik Covid-19.

Tanggungan subsidi ini hanyalah untuk tempoh tiga bulan sahaja dengan kos RM55 juta sebulan.

“Walau bagaimanapun, kerajaan mendapati minyak masak berbotol yang disubsidi banyak diselewengkan oleh pihak industri, komersial dan aktiviti penyeludupan.

“Sehubungan dengan itu, kerajaan membuat keputusan mulai 1 Julai ini untuk tidak lagi menyambung subsidi untuk minyak masak berbotol kerana objektif awal program ini adalah untuk membantu golongan terkesan pandemik,” katanya.

Kerajaan juga sebelum ini menghapuskan subsidi kepada penternak ayam yang akan menyebabkan harga makanan itu diapungkan mulai 1 Julai ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×