Jangan ‘dipatuk ular dalam lubang sama’

Jangan ‘dipatuk ular dalam lubang sama’

DION Cools (kanan) memberi impak kepada Harimau Malaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kejayaan Malaysia melangkah ke pentas Piala Asia 2023 pada Jun nanti membuka mata beberapa pemain berdarah kacukan untuk memperkuatkan Harimau Malaya.

Walaupun sebelum ini Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah mengadakan perbincangan, malah tawaran telah dikemukakan kepada pemain yang diberi gelaran warisan itu untuk sama-sama membantu skuad kebangsaan, namun tidak mendapat maklum balas yang positif.

Kini selepas Malaysia menamatkan penantian 42 tahun, Selasa lalu timbul persoalan dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan apabila pemain yang ditawarkan sebelum ini mula menghampiri FAM.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, tenaga pengajar Elit Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Prof. Madya Dr. Zulakbal Abd. Karim berkata, pemegang taruh bola sepak perlu meneliti dengan terperinci dan mendalam sebelum menyenaraikan pemain berdarah kacukan Malaysia.

Katanya, pengalaman memberi taraf naturalisasi kepada beberapa pemain untuk menyertai Harimau Malaya sebelum perlu dijadikan panduan dan pengajaran.

“Cuba kita tengok tindakan kita sebelum ini dengan pemain naturalisasi, adakah pemain ini beri impak maksimum buat negara, bagaimana pula dengan pemain warisan.

“Kena teliti secara halus tindakan-tindakan ini, masa kalah tak nak datang, pujuk pun tak nak, bila layak nak main Piala Asia, mestilah ada justifikasi,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Katanya, pemain yang ingin didaftarkan sebagai pemain warisan seharusnya diselidik terlebih dahulu prestasi bersama kelab mahupun pasukan sedia ada.

“Adakah pemain ini bagus, beraksi dalam liga apa dan sebagainya perlu. Bukan saya kata naturalisasi mahupun warisan ini tidak bagus tetapi jangan sampai kena ‘patuk ular dalam lubang yang sama’.

“Jangan sampai pemain yang berada dalam skuad Harimau Malaya ketika ini digugurkan tanpa sebarang alasan yang munasabah hanya untuk menyenaraikan pemain warisan.

“Ini tidak adil tetapi saya percaya pengendali Harimau Malaya, Kim Pan Gon sudah pasti akan memilih pemain yang terbaik,” katanya.

Terdahulu heboh di media sosial pemain sayap kacukan negara, Jaami Qureshi yang beraksi bersama kelab England, Brighton & Hove Albion mengunjungi Wisma FAM.

Jaami yang beraksi dalam saingan Liga Perdana Inggeris Bawah 18 Brighton dan sudah bermain 13 perlawanan dengan berjaya menjaringkan dua gol serta menyumbang dua bantuan gol.

Difahamkan pemain berusia 18 tahun ini berada di Malaysia untuk melengkapkan proses dokumentasi pasport.

Jaami boleh beraksi untuk tiga negara iaitu Iraq (negara bapanya), Malaysia (negara ibunya) dan juga England di mana tempat Jaami dilahirkan.

Menerusi laman Instagram rasmi Jaami, kelihatan pemain itu telah memuat naik satu gambar bersama dengan pemain pasukan kebangsaan iaitu Akhyar Rashid dan Mohamadou Sumareh.

Pemain Malaysia yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Wan Kuzain Wan Kamal juga menjadi sebutan untuk menyarung jersi Harimau Malaya.

Antara pemain warisan yang kini menguatkan cabaran Malaysia adalah Junior Eldstal, La’Vere Corbin-Ong dan Darren Lok, Matthew Davies dan Dion Cools. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×