DI penghujung usia, ramai mengimpikan hidup bahagia, gembira dengan anak menantu dan cucu setelah melewati dunia kesibukan bekerja.
Namun, tidak semua bertuah menikmati saat-saat itu bersama insan-insan tersayang.
Ada antaranya terpaksa melalui fasa bersendirian, kesunyian dan kesedihan sehingga ajal menjemput.
Bertuah jika ibu bapa ditemani anak menantu di penghujung usia.
Namun ada ibu bapa yang terpaksa berdepan dengan ragam anak-anak yang cenderung melepaskan tanggungjawab menjaga ibu bapa kepada ahli keluarga lain, jiran tetangga dan institusi kebajikan warga emas.
Keadaan ini menyebabkan ada antara warga tua berusaha mendapatkan bantuan orang lain dan memilih tinggal di pusat jagaan orang tua.
Kisah Liku Hidup minggu ini dikongsikan oleh Mizan (bukan nama sebenar) salah seorang sukarelawan di pusat jagaan orang tua di selatan tanahair tentang pengalaman seorang ibu tua yang meninggal dunia tanpa seorang ahli keluarga disisi.
Hanya ditemani kakitangan pusat berkenaan, Zubaidah (bukan nama sebenar) menghembuskan nafas terakhir kira-kira dua minggu lalu.
Setelah hampir lapan tahun menjalankan kerja-kerja sukarelawan di pusat penjagan itu, Mizan didedahkan dengan pelbagai pengalaman dan itulah antara paling menyedihkan.
Seperkara membuatkannya begitu terkilan ialah apabila wanita tua itu pernah meluahkan perasaannya untuk bertemu anak-anak dan cucunya sebelum ajal menjemput.
Namun hasrat itu tidak kesampaian kerana tidak ada kesungguhan dan usaha dilakukan anak-anak untuk bertemu ibu sendiri walaupun sudah banyak kali pihak pusat jagaan menghubungi mereka.
Sebelum ketibaan Hari Raya baru-baru ini, pihak pengurusan tertinggi pusat berkenaan cuba sekali menghubungi ahli keluarga Zubaidah, malangnya masing-masing bertelagah, siapa yang mahu mengambil ibu untuk beraya di rumah rumah mereka.
Kali terakhir anak-anak menziarahi ibu mereka adalah pada pertengahan Januari lalu.
Zubaidah yang memiliki enam anak itu memilih untuk tinggal di pusat jagaan orang tua setelah kematian suaminya enam tahun lalu.
Dia gembira berada di situ walaupun tidak dipedulikan.
Zubaidah reda dengan ketentuan takdir apabila terpaksa menghabiskan sisa-sisa hidupnya di pusat penjagaan itu.
Mungkin ada silap yang dia tidak sedari ketika mendidik anak-anak sehingga mereka terus membiarkannya di sini.
Sebelum itu dia dibawa tinggal di rumah anak-anaknya secara bergilir.
Keputusannya untuk tinggal di pusat jagaan orang tua itu dibuat sendiri kerana dia tidak mahu menjadi punca pergaduhan anak menantu kerana terpaksa menguruskan dirinya yang semakin uzur.
Berdasarkan rekod kemasukan, empat daripada enam anak Zubaidah, hampir kesemuanya berkehidupan sempurna, bekerja hebat dan berpangkat tinggi.
Namun, entah di mana silapnya, tidak seorang pun yang benar-benar menunjukkan rasa tanggungjawab kepada Zubaidah.
Pada awal kemasukan Zubaidah ke pusat jagaan itu, hampir setiap minggu anak-anak mengunjunginya.
Kebiasaannya mereka sekadar datang tunjuk muka, bertanya khabar dan kemudian pulang.
Namun, sejak awal tahun ini, mereka sudah jarang mengunjungi Zubaidah.
Sesekali Zubaidah meluahkan perasaan kepada Mizan tentang rasa rindu dan terkilan dengan sikap anak-anaknya itu.
Namun, setiap kali perbualan mereka berakhir, Zubaidah tetap memaaf dan sentiasa mendoakan kesejahteraan anak-anaknya.
Zubaidah tidak pernah menyalahkan anak-anak kerana apa yang berlaku mungkin balasan kepada perbuatannya yang terdahulu.
Walaupun Mizan agak rapat dengan Zubaidah, dia sendiri tidak mengetahui secara terperinci apa yang berlaku antara ibu tua itu dan anak-anaknya.
Sehingga Zubaidah menghembus nafas terakhir, dia tetap menyimpan kemas rahsia tersebut.
Walaupun berkali-kali Zubaidah menegaskan kepada Mizan keputusan untuk tinggal di pusat jagaan itu atas pilihannya sendiri, jauh disudut hati Mizan mengerti perasaan ibu tua itu.
Setiap kali bercerita tentang anak-anaknya, mata ibu tua ini berkaca tanda sedih.
Hanya beberapa saat berbicara, kelopak mata ibu tua ini bergenang dengan air mata seterusnya membasahi pipi yang dimamah usia.
Zubaidah tahu anak menantu dan cucunya sibuk, dengan keadaannya yang semakin uzur, dia sentiasa bersyukur kerana mendapat penjagaan dan kasih sayang di pusat berkenaan.
Dia tidak perlu menyusahkan anak-anak dan meletakkan mereka dalam situasi bergaduh tentang siapa yang akan menjaganya.
Akui Mizan, dia tidak berniat untuk membuka aib ibu tua dan anak-anaknya. Namun perkongsian itu diharap dapat memberi kesedaran kepada mereka yang masih mempunyai ibu bapa.
Berbaktilah kepada mereka sehingga sampai ke penghujung usia mereka.
Kumpulkan pahala sebanyak mungkin dengan cara melakukan perkara-perkara kebaikan terhadap mereka.
Ibu bapa juga insan biasa dan tidak terlepas daripada berbuat kesilapan.
Walaupun sebesar mana kesalahan ibu tua ini kepada anak-anak, mereka tidak layak menyimpan rasa marah dan benci.
Sekiranya ada kalangan kita pernah berasa kecil hati ditegur, ingatlah bukan bermakna mereka tidak suka atau mahu membebankan hidup kita.
Sebaliknya tanda kasih dan prihatinnya mereka walaupun kita merasakan diri sudah cukup dewasa.
Sebenarnya, dalam hati setiap ibu bapa sentiasa mendoakan kebahagiaan anak-anak dan itulah yang dilakukan Zubaidah semasa hayatnya.
Sebagaimana Firman ALLAH SWT: Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-NYA semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu. (Surah al-Isra’, ayat 23)










