MUKADIMAH
SEBELUM Pakatan Harapan (PH) Sabah memfailkan tindakan undang-undang bagi menuntut 40 peratus hasil negeri, Ahli Parlimen Sepanggar dari Parti Warisan Sabah (Warisan), DATUK MOHD. AZIS JAMMAN ialah wakil rakyat pertama membangkitkan isu tersebut di Parlimen.
Ia bermula sejak Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz semasa mesyuarat Parlimen pada Mac lalu memberitahu pemberian khas 40 peratus hasil negeri ‘tidak lagi terpakai’ setelah kajian semula dijalankan dalam tempoh 1969 hingga 1973 dan kadarnya masih berkuat kuasa sehingga kini.
Namun, timbul persoalan jika terdapat kajian semula (semakan kali kedua) dilakukan pada 1974 bagi tempoh lima tahun berikutnya kerana setelah merujuk Warta Kerajaan diperolehnya, beliau mendedahkan pemberian khas bagi semakan pertama hanya berkuat kuasa selama lima tahun dan ia wajar digantikan dengan pemberian lain.
Kepada wartawan Utusan Malaysia, MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN, Ketua Wira Warisan itu menyatakan betapa rakyat Sabah memerlukan hasil negeri 40 peratus berbanding geran tahunan demi kemajuan negeri itu.
UTUSAN: Apa pendapat Datuk tentang kenaikan pemberian khas Sabah baru-baru ini?
MOHD. AZIS: Walaupun sekarang nilai geran tahunan yang dimaklumkan oleh Perdana Menteri sebanyak RM125.6 juta, hakikatnya Sabah sudah hilang puluhan juta ringgit. Saya mengunjurkan Sabah sudah ‘kerugian’ sekurang-kurangnya RM80.1 juta daripada pemberian khas ini kerana gandaan nilai dirancang diberikan bagi 2021, 2022, 2023 semasa pentadbiran PH tidak dapat diberikan.
Semasa pentadbiran PH, kami sudah bersetuju menaikkan geran tahunan pemberian khas Sabah secara berperingkat dalam tempoh lima tahun. Nilai geran tahunan terakhir iaitu RM26.7 juta sejak 1973 dinaikkan kepada RM53.4 juta pada 2021, kemudian dinaikkan lagi kepada RM106.8 juta pada 2022 dan ditambah sehingga RM108 juta pada 2023. Ini mengambil kira soal keadaan wang negara dan situasi pandemik Covid-19.
Apa yang berlaku selepas itu?
Siapa sangka, pada 2020 berlaku ‘rampasan kuasa’ di peringkat Persekutuan oleh Perikatan Nasional (PN) dan nilai geran tahunan yang sudah dirancang PH tidak dapat dinaikkan seperti dijanjikan. Lebih malang apabila nilai geran tahunan ini dikembalikan kepada nilai asalnya, iaitu RM26.7 juta dan bukannya bermula daripada nilai baharu yang PH mulakan.
Maknanya, tiada apa perlu dibanggakan daripada geran tahunan baharu ini?
Kalaulah kerajaan bangga dengan memberikan geran tahunan yang difikirkan ‘lebih besar’ sejak 1973, bermakna sudah berlaku manipulasi dan mengelirukan rakyat.
Tiada satu sen pun pemberian khas daripada PH sampai ke Sabah?
Kami tidak sempat, kerana Langkah Sheratonlah. Walaupun pemberian khas ini belum dapat diberikan, tetapi sekurang-kurangnya nampaklah komitmen kerajaan PH berjanji menaikkan geran tahunan itu, tetapi malangnya, ia tidak sempat dilakukan disebabkan ‘rampasan kuasa’.
Kami mengharapkan apabila PN mengambil alih, mereka berjanji kami akan menikmati pembangunan tetapi secara tiba-tiba nilai geran tahunan itu dikembalikan kepada RM26.7 juta.
Kabinet Sabah tetap menuntut 40 peratus hasil negeri tetapi pada masa sama bersetuju dengan kajian semula geran tahunan itu?
Saya pun tidak faham dengan strategi kerajaan negeri. Saya mahu Kabinet negeri berpendirian tegas tentang perkara ini. Dalam aspek kenaikan geran tahunan, saya tidak mahu ia tergantung begitu sahaja.
Sabah sudah lama bertolak ansur dan seiring dengan pertimbangan mengenai kewangan negara.
Tetapi, akhirnya, Sabah pula bermasalah. Kita sudah 20 tahun ketinggalan dalam semua aspek pembangunan. Jadi, Sabah perlukan kutipan hasil negeri lebih banyak berbanding Persekutuan untuk pembangunan dan insfrastruktur.
Sebelum ini kecoh di Dewan Rakyat selepas Datuk bangkitkan soal Warta Kerajaan tentang Pemberian Khas?
Apabila saya menerima satu dokumen diberikan oleh Menteri Kewangan di Parlimen mengenai Warta Kerajaan yang telah dikeluarkan pada 1970-an, di dalam warta tersebut secara jelas menyatakan mengenai formula pemberian geran kepada Sabah walaupun ramai rakyat Malaysia khususnya Sabah tidak tahu-menahu mengenai kewujudan warta ini. Mengapa warta ini berstatus ‘rahsia’?
Warta ini menyatakan, bagi tempoh lima tahun bermula dari 1 Januari 1969, Persekutuan hendaklah berhenti daripada memberi kepada Sabah pemberian dinyatakan dalam Bahagian IV Jadual Kesepuluh Perlembagaan. Sebagai menggantikannya, Persekutuan hendaklah memberi suatu pemberian lain bagi tempoh lima tahun.
Boleh jelaskan lagi warta itu?
Warta ini dikuatkuasakan hanya dalam tempoh lima tahun mulai 1 Januari 1969 sehingga 1974. Tetapi, mengapa ia masih dikuatkuasakan sehingga kini? Ordinan Darurat yang dikuatkuasakan ekoran rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 juga telah dimansuhkan sepenuhnya pada 2011 dan ini bermakna, semua warta dikeluarkan semasa tempoh darurat sewajarnya dimansuhkan terutama warta yang menyentuh hal ehwal perlembagaan berkait dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Datuk akan bawa isu ini semula ke Parlimen?
Ya, sudah pasti. Ini akan menjadi tajuk utama perbahasan saya pada mesyuarat Parlimen nanti. Saya tidak akan jemu dan berputus asa kerana ini melibatkan hak rakyat dan generasi akan datang.
Bukankah ia bergantung pada keadaan kewangan Kerajaan Persekutuan?
Kalau tunggu, sampai bila kita harus menunggu? Adakah sehingga wang kerajaan benar-benar stabil? Kalau inilah alasannya, ketidakseimbangan pembangunan antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak akan berterusan. Kita tidak mahu fikirkan soal kedudukan wang, kita hanya mahukan hak kerana Sabah lebih memerlukan dana itu.
Selagi Kabinet Sabah bersetuju dengan kenaikan geran ini, bermakna mereka sudah meredai Kerajaan Persekutuan bagi meneruskan ‘penindasan’ dan ‘rompakan’ terhadap hasil negeri Sabah seperti yang tertulis dalam MA63. – UTUSAN











