TANGGAL 8 Jun saban tahun, kita meraikan Hari Laut Sedunia. Sambutan ini merupakan inisiatif masyarakat dunia bagi mengiktiraf peranan ekosistem laut kepada kehidupan manusia sejagat dan kelangsungan kepelbagaian biodiversiti yang menghuninya.
Tema sambutan pada tahun ini ialah Mari Kita Jaga dan Lindungi Laut Kita. Tema yang dipilih menyeru masyarakat dunia untuk menjaga dan melindungi ekosistem laut ini dilihat sangat relevan dan tepat pada masanya, sementelah kita menyaksikan situasi semasa ekosistem berkenaan yang saban hari kian dihimpit ancaman pencemaran.
Antara penyumbang pencemaran yang kritikal ke atas ekosistem laut ialah sisa plastik. Hasil kajian oleh Profesor Jenna Jambeck dari Universiti Georgia mendapati sebanyak 8.8 juta tan plastik berakhir di lautan seluruh dunia pada setiap tahun. Sementara itu, statistik direkodkan oleh Our World in Data (OWD) mendapati sebanyak lapan juta tan, yakni bersamaan dengan tiga peratus bahan buangan plastik global mengalir ke lautan menerusi sistem saliran seperti parit dan sungai.
Situasi ini amat membimbangkan kerana sisa plastik yang hanyut di lautan akan membahayakan dan mengancam nyawa hidupan marin. Lebih-lebih lagi hidupan marin yang memakan partikel tersebut yang disangka sebagai makanan. Buktinya, saban hari kita masih lagi disajikan dengan berita kematian spesies-spesies marin seperti penyu, ikan paus, anjing laut, burung laut dan pelbagai lagi di segenap pelosok dunia ekoran termakan partikel plastik dan ada juga yang mati akibat terbelit dan terperangkap pada plastik.
Laporan berkaitan hidupan marin yang mati berpunca daripada plastik bukan perkara baharu, malah telah berlanjutan sejak sekian lama dan kes-kes seumpama itu semakin bertambah dari hari ke hari sehingga menyebabkan haiwan marin berdepan risiko kepupusan angkara sikap manusia yang tidak bertanggungjawab dan mengabaikan kelestarian alam sekitar.
Kajian oleh Universiti Plymouth mendapati sisa buangan plastik mengancam kira-kira 700 spesies hidupan marin sehingga menyebabkan sebahagian daripadanya diancam kepupusan. Malah, dilaporkan kira-kira 100 juta mamalia marin terbunuh saban tahun akibat pencemaran plastik.
Bahan buangan plastik di lautan bukan sahaja memberi ancaman secara langsung apabila dimakan oleh haiwan marin sehingga mencatatkan angka kematian yang tinggi akibat partikel berkenaan. Sebaliknya, sisa plastik yang terurai menjadi plastik mikro dan plastik nano pula akan membahayakan hidupan marin lain seperti ikan yang menjadi sumber makanan kepada manusia.
COVID-19
Dalam konteks ini, bahan kimia yang sangat toksik terdapat di dalam plastik akan menyerap ke dalam tisu haiwan terbabit. Hal demikian ini secara tidak langsung turut mengancam tahap kesihatan manusia apabila memakan sumber makanan laut yang dicemari oleh plastik mikro dan plastik nano.
Pencemaran laut oleh sisa buangan plastik merupakan isu global yang dilihat kritikal dan perlu diberikan perhatian serius dan ditangani segera sehingga akar umbi. Hal demikian ini kerana ia bukan sahaja memberi dampak buruk kepada hidupan marin dan manusia, sebaliknya turut menjejaskan keseimbangan keseluruhan rantaian makanan di dalam ekosistem berkenaan yang seterusnya mengundang ancaman kepupusan lebih besar kepada biodiversiti marin.
Jika dilihat daripada statistik kadar pembuangan sisa plastik di Malaysia, ia berada pada tahap amat membimbangkan. Kajian oleh Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara terhadap komposisi sisa isi rumah pada 2015 mendapati sumber buangan sisa pepejal kedua terbesar ialah plastik, iaitu sebanyak 14 peratus. Bayangkan berapa banyak timbunan sisa plastik yang telah dihasilkan sekiranya trend pembuangannya masih lagi sama atau pun berlaku peningkatan.
Banyak kajian menunjukkan terdapat peningkatan dari segi kadar pembuangan sisa plastik di seluruh dunia sejak penularan pandemik Covid-19 pada 2020. Dengan kadar peningkatan sisa buangan plastik yang berlaku, ia pastinya turut menyumbang kepada peningkatan sisa berkenaan yang berakhir di lautan. Hal demikian ini pastinya menjadi beban berterusan kepada ekosistem laut kerana plastik mengambil masa yang lama yakni beratus-ratus tahun untuk terurai secara semula jadi.
KEMPEN
Justeru, sudah tiba masanya semua pihak menggembleng tenaga dan usaha untuk meningkatkan tahap kesedaran dalam kalangan masyarakat di semua peringkat usia tentang bahaya ancaman pencemaran plastik terhadap ekosistem dan kehidupan sejagat. Kempen-kempen kesedaran perlu diperkasakan lagi agar masyarakat didedahkan dengan ilmu pengetahuan mencukupi tentang aspek penjagaan alam sekitar, sekali gus dapat menterjemahkan kepada tindakan yang berkesan dalam usaha mengehadkan penggunaan plastik dan meminimumkan kadar pembuangan sisa berkenaan ke persekitaran.
Inisiatif kerajaan menerusi Pelan Hala Tuju Malaysia Ke Arah Sifar Penggunaan Plastik Sekali Guna 2018-2030 yang dimeterai perlu disambut baik oleh segenap lapisan masyarakat. Tanpa sokongan padu daripada masyarakat, pastinya usaha ini akan menjadi sia-sia. Oleh itu, sama-samalah kita memainkan peranan masing-masing secara tuntas dalam membudayakan gaya hidup mesra alam agar ekosistem marin kita dapat diselamatkan.
Hal demikian ini bertepatan dengan peranan kita selaku khalifah di atas muka bumi yang diamanahkan dengan tanggungjawab pelestarian alam sekitar sebagaimana dinukilkan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: “Dialah yang menjadikan kamu daripada bahan-bahan bumi dan menghendaki kamu memakmurkannya.” (Surah Hud, ayat 61) – UTUSAN
PENULIS ialah Felow Pusat Kajian Sains & Alam Sekitar, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).










