Mungkin masih ramai tidak mengenali figura seni berbakat besar kelahiran negara seberang ini.
Namun, sudah agak lama sebenarnya si pemilik nama Yuka Kharisma berkelana dalam industri seni tempatan.
Bukan hanya menyanyi, figura tinggi lampai ini juga adalah seorang belakang tabir iaitu penerbit dan komposer lagu.
Yuka memegang erat hasrat untuk membantu pihak lain yang memerlukan perkhidmatan bakatnya yang ada.
Katanya, dia berhasrat membantu lebih ramai usahawan yang memerlukan lagu rasmi produk mereka bagi pendekatan dalam pemasaran.
“Kita sebagai manusia ini mesti mempunyai impian tersendiri. Sudah mencapai suatu impian, mesti ingin capai yang lebih besar lagi. Saya mahu pergi lebih jauh dan meneroka lebih banyak muzik lagi.
“Hasrat saya yang tidak tercapai lagi dalam industri ini adalah ingin lebih banyak membantu orang yang memerlukan perkhidmatan saya sebagai seorang penyanyi, penerbit serta penulis lagu.
“Hasrat saya lebih kepada hendak membantu lebih ramai orang lagi terutamanya usahawan yang memerlukan lagu untuk produk mereka,” katanya.
Selesa berkarya di Malaysia
Program realiti terkenal, Indonesia Idol musim ke-15 pada 2008 bagaikan membuka lembaran baharu buat pemilik lagu Tentang Rasa dalam mewarna kanvas seni di persada muzik di negara ini.
Selepas penyertaannya menerusi program berprestij itu, rezekinya lebih luas di Malaysia apabila banyak menerima tawaran menyanyi dalam majlis perkahwinan dan majlis kenamaan. Dia ada pengikut tersendiri.
Sama seperti penyanyi lain, Yuka juga sejak awal lagi sudah menggenggam impian untuk mempunyai konsert tersendiri pada masa akan datang.
“Sebagai penyanyi pula, saya ingin lebih dikenali lagi di Malaysia. Saya juga berhasrat mempunyai konsert sendiri pada masa akan datang dan melancarkan album insya-Allah pada tahun hadapan.
“Jadi, saya mahu berkarya lebih banyak lagi dan menyumbang karya dan bakat lebih luas selepas ini,” ujarnya.
Bagi Yuka, walaupun dirinya sudah pun selesa berkarya di tanah air ini, namun tidak pernah melupakan negara kelahirannya.
Jelasnya, angan-angan dikenali di Indonesia juga adalah salah satu impiannya. Namun, dia ingin menguatkan nama seninya di Malaysia terlebih dahulu.
“Tidak salah jika kita nak mula cipta nama di tempat lain kerana Nabi pun pesan dan menggalakkan kita untuk berhijrah.
“Pada saya, saya just go with the flow. Lebih-lebih lagi saya sudah selesa berada di Malaysia. Namun, impian dan angan-angan untuk mencipta nama di Indonesia pun ada.
“Tetapi buat masa ini, saya cuma go with the flow untuk kuatkan nama Yuka di Malaysia terlebih dahulu,” kongsinya.
Akur dengan cabaran
Bukan mudah untuk berada dalam industri seni tanah air ini dan dikenali.
Cabaran bagi setiap yang bergelar anak seni adalah berlainan. Bagi pemenang kategori Artis Baru Wanita Terbaik Anugerah Planet Muzik (APM) ke-15 ini, dia akur dengan cabaran sebagai komposer lagu kelahiran dari seberang yang menapak di Malaysia.
“Rasa kecewa itu bukan pada industri tetapi apa-apa perkara pun saya akan berbalik kepada diri sendiri. apa yang saya belum lakukan lagi.
“Jadi, apa yang saya boleh perbaiki semula untuk industri agar boleh diterima di sini. Cabaran terbesar adalah saya memang warga Indonesia.
“Maka, apabila saya menulis lagu dan lagu itu tidak boleh bertanding di Anugerah Juara Lagu (AJL) dan sebagainya,” dedahnya.
Tidak sedikit pun menzahirkan rasa kecewa, dia akur dan masih meneruskan berkarya kerana muzik adalah jiwanya.
Malah, tidak pernah lelah dan sentiasa bersemangat mencari peluang yang ada dalam memasarkan diri untuk orang ramai lebih mengetahui bakat yang ada dalam diri penyanyi ini.
“Oleh kerana itu, saya boleh dapat anugerah di Singapura tetapi di sini masih belum lagi. Mungkin disebabkan faktor tersebut.
“Harapan saya bukan kepada orang lain, tetapi kepada diri sendiri iaitu bagaimana hendak memasarkan diri dan bagi memastikan diri lebih dikenali.
“Kejayaan seseorang artis bukan kerana diri mereka sendiri, tetapi orang-orang yang ada dibelakangnya yang push ke hadapan,” ujarnya.











