Peruntukan kesihatan, perlindungan wanita tepat pada masanya - Utusan Malaysia

Peruntukan kesihatan, perlindungan wanita tepat pada masanya

KERAJAAN diminta perkukuhkan kemudahan panggilan hotline supaya wanita yang menjadi mangsa mendapat bantuan segera.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Peruntukan RM10 juta bagi program saringan kanser serviks dan insentif subsidi ujian mamogram kepada wanita berisiko tinggi mendapat kanser payudara atau kanser serviks disifatkan sebagai tepat pada masanya dalam dunia berdepan pandemik Covid-19.

Presiden Persatuan Kebajikan Kanser Payudara (BCWA), Ranjit Kaur berkata, peruntukan berkenaan dilihat dapat membantu pengesanan awal kanser, sekali gus menerima rawatan segera.

Katanya, dalam kebanyakan kes kanser, ia dikesan pada peringkat akhir menjadikan kos rawatan adalah jauh lebih tinggi berbanding kalau dirawat awal.

RANJIT KAUR

“Ia memberikan hasil kelangsungan hidup yang lebih baik kepada wanita, khususnya rakyat negara ini,” katanya mengulas Belanjawan 2021 dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat, baru-baru ini.

Kanser payudara dianggap pembunuh wanita dengan angka sejuta setahun. Pada 2018, ia merekodkan sebanyak 16,000 kematian di Malaysia.

Belanjawan 2021 memperuntukkan RM10 juta bagi program saringan kanser serviks dan insentif subsidi ujian mammogram kepada wanita berisiko tinggi mendapat kanser payudara atau kanser serviks.

Daripada segi sokongan pula, sebanyak RM21 juta diperuntukkan bagi penubuhan Pusat Sokongan Setempat.

Pusat berkenaan dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyediakan perlindungan sosial dan sokongan moral kepada golongan wanita terutamanya dalam mendepani masalah keganasan rumah tangga, penceraian dan penderaan.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Sumitra Visvanathan berkata, dalam usaha memberikan perlindungan kepada wanita teraniaya, kemudahan lain seperti panggilan hotline, seharusnya dipertingkatkan supaya mangsa mendapat bantuan segera.

SUMITRA VISVANATHAN

Katanya, memiliki tempat tinggal sahaja tidak mencukupi untuk membantu mereka.
“Kami memerlukan pekerja sosial daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan anggota polis yang menguruskan jenayah terhadap wanita dan kanak-kanak,” katanya.

Statistik keganasan rumah tangga di Malaysia merekodkan pada tahun 2010 terdapat 3,173 kes keganasan rumah tangga dilaporkan, namun bilangan itu meningkat kepada 5,421 tahun 2018.

Sumitra berkata, apa yang lebih membimbangkan ialah sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan keadaan mangsa yang pasti lebih sukar.

“Panggilan serta mesej WhatsApp ke talian bantuan WAO, berkurang kepada 73 panggilan dalam seminggu PKP dilaksanakan.

“Ini bukan bermakna terdapat pengurangan kes tetapi dikhuatiri mangsa tidak dapat membuat panggilan disebabkan mereka sentiasa berada bersama pendera sewaktu tempoh PKP,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×