Politik bukan jemputan kenduri kahwin - Utusan Malaysia

Politik bukan jemputan kenduri kahwin

NOH OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

WALAUPUN pernah mengalami pengalaman pahit jentera kempen yang diterajui masing-masing di Selangor kalah pada pilihan raya umum (PRU) 2008 dan 2018, kedua-dua pemimpin ini merasakan mereka masih boleh memberikan sumbangan untuk membolehkan Barisan Nasional (BN) merampas semula negeri itu.

Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, TAN SRI NOH OMAR dan bekas penyandang jawatan itu yang juga ‘murid’ beliau, DR. MOHAMAD KHIR TOYO nampaknya cukup yakin dengan idea dan pengalaman yang mereka ada, yang hanya akan dapat dibuktikan berguna atau tidak apabila keputusan PRU15 diumumkan.

Bercakap kepada wartawan Utusan Malaysia, NIZAM YATIM dan jurugambar, SHIDDIEQIIN ZON di Kuala Lumpur, baru-baru ini, Noh yang tidak pernah kalah sejak menjadi ahli Parlimen di Selangor selama 27 tahun atau enam penggal menjelaskan, tiada masalah calon yang ditampilkan orang muda atau tua asalkan mereka dapat diterima oleh pengundi.

Dalam temu bual eksklusif bersama wartawan, NUR ASLINDA MOHD. NASIR di Shah Alam, Mohamad Khir pula berkata, pengalamannya yang pernah duduk di atas dan juga di bawah telah mematangkannya dan menjadikannya lebih memahami apa yang diperlukan pengundi.

UTUSAN: Mohamad Khir mendakwa UMNO Selangor tidak mempunyai pemimpin berwibawa yang mampu memenangkan negeri itu, sekali gus menyebabkan BN negeri kalah tiga penggal berturut-turut?

NOH: Mohamad Khir ini mungkin lupa yang dia menjadi Pengerusi Perhubungan pada penggal pertama kita kalah ketika PRU12 pada 2008, kalau tak ada wibawa, mungkin zaman dialah.

Dulu tahun 2004 pada PRU11, BN menang di 54 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Kita kalah dua kerusi sahaja, satu DUN Sekinchan dan satu lagi DUN Sungai Pinang. Sekinchan itu dalam Parlimen Sungai Besar. Masa itu siapa menteri besar, siapa ketua bahagian?

Zaman dia pun dia tak boleh, maksudnya orang lain boleh menang, dia menteri besar, dalam DUN dia, boleh kalah, itu tahun 2004. Pada 2008 bukan sahaja dalam DUN dia, satu negeri pun kalah, bawah dia juga.

Pengerusi Perhubungan Selangor selepas itu, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika PRU13 pada 2013. Saya pula ketika PRU14 pada 2018, baru sepenggal. Tiga penggal kalah, berkongsi dengan dialah.

Adakah banyak pemimpin di Selangor sekarang?

Kalau nak banding pada zaman dahulu, ini yang paling ramai sekali pemimpin-pemimpin dari Selangor. Saya ingat kalau dalam Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pun, penggal ini yang paling ramai wakil dari Selangor.

Dalam MKT yang dilantik sahaja kita ada empat orang dan campur saya, lima orang. Ada Shahril Hamdan (Ketua Penerangan) dan Ketua Puteri (Datuk Zahida Zarik Khan), tujuh kita ada dalam MKT sahaja.

Setiausaha politik kepada menteri Persekutuan sahaja kita ada lima, paling ramailah. Dulu mana ada setiausaha politik dari Selangor, kepada menteri besar kalau ada pun. Pertubuhan Peladang kita ada dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pun kita ada pemimpin.

Jadi saya ingat, itu dia punya pandanganlah. Saya tidak mahu pertikaikan pandangan dia. Mungkin dia tengok pada zaman dia lagi. Mohamad Khir ini anak didik saya. Saya guru kepada dia.

Saya yang bawa dia masuk dalam politik, jadi saya tahulah dan kerana kehebatan dan kewibawaan dia. Maka dapat menjadi menteri besar yang termuda pada masa itu. Tetapi dalam masa yang sama dia mencipta sejarahlah, di bawah pimpinan dia ketika PRU12 pada 2008, BN kalah.

KRITIKAN TERBUKA

Adakah Mohamad Khir tidak dijemput untuk memberi pandangan melalui saluran dalaman parti sehingga beliau membuat kritikan terbuka dalam akhbar?

Dalam parti politik ini, saya punya prinsip daripada dulu, kita tak sama macam kenduri kahwin, politik berbeza. Dalam politik kita kena anggap macam melawat orang meninggal dunia.

Kenduri kahwin, kita tak dijemput, tak boleh datang. Tetapi kalau dengar orang meninggal dunia, tak ada jemputan tapi kita datang menziarahi. Kita anggap macam fardu kifayahlah. Jadi saya orang UMNO, bila dengar ada program parti, apalah nak jemput-jemput, datanglah.

Itu prinsip saya daripada dulu. Sebab itu dulu walaupun saya tak ada jawatan, orang jemput atau tidak, saya dengar itu program UMNO, saya datang. Tetapi saya tidak duduk atas (pentas) lah, saya duduk di bawah.

Bila saya tidak jadi Pengerusi Perhubungan (setelah meletak jawatan selepas kalah PRU14) saya tak pernah terlepas mesyuarat perhubungan, saya datang.

Sebab dia (Mohamad Khir) rasa dia pemimpin yang berwibawa, itu sebab (tidak hadir program parti). Dalam politik ini, ada jawatan atau tidak, kita kena bercampur dengan orang.

Ertinya prinsip saya, waktu saya jadi imam orang ikutlah saya, bila saya jadi makmum saya kena ikut imam. Janganlah ingat bila kita jadi imam, kita tak boleh jadi makmum, itu bukan prinsip saya.

CALON MUDA

Apakah faktor-faktor yang Tan Sri lihat boleh memenangkan BN di Selangor?

Bagi saya kalau (pengundi) hendak tengok muka-muka baharu, kali inilah (PRU15). Ahli Parlimen kalau (BN sekarang) saya seorang sahaja. Kalau kata ada 22 kawasan Parlimen, jadi calon-calon lain mungkin muka-muka baharulah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada 56 orang, yang dari BN hanya lima orang sahaja. Maknanya baki (calon-calon yang akan bertanding) itu sudah tentulah kita kena ambil muka-muka baharu.

Tetapi itu terpulang kepada pucuk pimpinan, saya boleh mencadang sahajalah, yang menentukan pihak pucuk pimpinan. Kalau ditanya siapa menjadi calon, itu bukan kuasa saya. Saya pun belum tentu lagi dicalonkan atau tidak, jadi itu saya tak boleh nak komenlah.

Selain muka baharu, orang nak muda juga?

Bagi saya soal muda atau tua, ini soal rakyat boleh terima atau tidak. Dulu kita letak ramai juga pemimpin muda, ada juga yang kalah. Pemimpin lama pula, ada juga yang menang.

Jadi saya ingat rakyat punya penilaian ini selain daripada umur, dia juga nak tengok kita punya komitmen dan juga keterampilan kita. Di Selangor agak berbeza, kalau di luar bandar, pengundi menilai macam mana pergaulan kita di dalam masyarakat, tetapi dalam bandar ini, ada berapa ratus ribu pengundi, berapa banyak rumah yang kita boleh pergi?

Mungkin kena cari kaedah lain untuk mempromosi calon supaya orang kenal. Satu-satu calon itu mungkin pengundi tengok, apa perjuangan dia. Kalau kita tengok sejarah PKR pun, banyak calon yang menang itu semua daripada NGO asalnya, mereka pejuang alam sekitar dan yang lain ada perjuangan tertentu, maka orang nampak dan kenal dia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×