Little Napoleon kacau industri ikan - Utusan Malaysia

Little Napoleon kacau industri ikan

SYED ABU HUSSIN HAFIZ SYED ABDUL FASAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

BARU-BARU ini, akhbar ini mendedahkan stok simpanan ikan negara di bawah penyeliaan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) berada pada paras kritikal. Laporan itu menyebut bahawa jumlah simpanan ikan negara cuma 322 tan metrik, berbanding keperluan harian sebanyak 4,000 tan metrik.

Susulan pendedahan itu, beberapa pihak tampil membidas laporan tersebut, mendakwa data yang didedahkan bersifat ‘meragukan’.

Sehubungan itu, wartawan Utusan Malaysia, FAHMI FAIZ sekali lagi menemu bual Pengerusi LKIM, DATUK SYED ABU HUSSIN HAFIZ SYED ABDUL FASAL bagi mendapatkan penjelasan. Ikuti wawancara mengejutkan ini, yang bertempat di Petaling Jaya, Ahad lalu. Ia merungkai kewujudan kartel ikan yang selama ini menzalimi nelayan malah memudaratkan rakyat.

KEKURANGAN STOK

UTUSAN: Apa sebenarnya isu berkaitan stok simpanan ikan ini?

SYED ABU HUSSIN: Isu kekurangan stok ikan sebenarnya isu yang kerap berlaku disebabkan oleh pendaratan ikan. Ini bergantung kepada musim, bila tengkujuh dan nelayan tidak ke laut, maka ikan akan berkurangan.

Oleh kerana ini isu yang kerap berlaku, maka saya selama dua tahun dalam LKIM telah banyak kali menyebutkan tentang stok simpanan ikan. Daripada awal pelantikan saya pada 1 Mei 2020 saya telah sebutkan. Jadi ketika ini saya agak kecewa tentang isu kenaikan harga ikan disebabkan oleh pengurangan pendaratan ikan.

Kenapa kecewa?

Kerana ini isu yang sering berlaku dan saya sudah bercakap dalam mesyuarat ahli lembaga pengarah, untuk para pegawai LKIM melaksanakan apa back up plan jika berlaku pengurangan ikan. Caranya adalah dengan penyimpanan stok ikan. Sebenarnya LKIM dan persatuan-persatuan nelayan tidak mempunyai stok simpanan ikan.

Apa bukti dakwaan ini?

Saya berada sebagai Pengerusi LKIM, saya telah membuat lawatan di semua tempat. Kita ada fasiliti kira-kira 1,500 tan metrik, ini bilik sejuk yang boleh menampung simpanan ikan sebanyak itu pada satu-satu masa.

Kita juga ada kilang memproses ikan beku, dua buah di Besut milik LKIM dan di Kuala Kedah di bawah Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT). Malah kita juga ada kilang memproses isi ikan di Besut dan Kuala Kedah.

Apa sebenarnya proses yang perlu dilakukan untuk menyimpan stok ikan?

Pertama ialah kapasiti untuk membeli. Maka ada kaedah pembelian yang sudah dirangka oleh kerajaan. Kedua, jika LKIM beli daripada nelayan di kala ikan tengah banyak, harganya akan lebih murah dan nelayan juga akan dapat harga berpatutan oleh kerana kerajaan yang beli.

Selepas dibeli, LKIM boleh jual terus kepada rakyat, diedarkan sama ada restoran-restoran di bawah naungan LKIM atau di pasar-pasar nelayan LKIM yang berjumlah 135 buah seluruh negara.

Dan untuk long life punya penyimpanan supaya kita ada back up plan ketika ikan kurang, bentuk penyimpanan ialah sejuk beku. Yang mana kaedah ini dilaksanakan di seluruh dunia. Ikan salmon pun dihantar kepada kita dalam bentuk sejuk beku.

Adakah kaedah menyimpan lain?

Kita juga boleh simpan dalam bentuk ikan yang sudah diproses. Sebab kita ini mempunyai industri keropok yang besar, jadi kita perlukan surimi iaitu isi ikan. Ini juga boleh diproses dan disimpan.

Bila kita simpan, dan bila berlaku musim tengkujuh, ribut atau musim ikan kurang, maka inilah back up plan. Kita keluarkan daripada stok simpanan, kita edarkan dan kita bantu rakyat dengan harga berpatutan.

Berapa kapasiti kerajaan untuk simpan ikan?

Di bawah LKIM, kapasitinya lebih kurang 1,500 tan metrik. Manakala purata penggunaan ialah 4,000 tan metrik sehari, iaitu anggaran 120,000 tan metrik sebulan seluruh negara.

Bukankah kapasiti simpanan ikan dan penggunaan tidak seimbang?

Yang paling menyedihkan saya ialah, walaupun kita ada kapasiti 1,500 tan metrik, pada hari kita buat wawancara ini (5 Jun), simpanan ikan kita ada cuma kira-kira 300 tan metrik saja. Bermakna, cuma lapan peratus berbanding keperluan sehari iaitu 4,000 tan metrik.

KARTEL IKAN

Apa yang berlaku dalam LKIM sampai Datuk pergi kepada media?

Iaitu lembaga ini sendiri tidak buat persediaan langsung untuk berhadapan dengan krisis bekalan makanan. Ini soal keselamatan negara! Ini yang saya bimbang, sudah dua tahun saya bercakap untuk diangkat di peringkat dalaman.

Tapi nampaknya sehingga sekarang masih belum dilaksanakan. Jadi saya lebih bertanggungjawab kepada rakyat, biar saya maklumkan kepada rakyat melalui Utusan Malaysia, supaya kamu boleh jadi kuasa pendesak untuk memastikan masa depan rakyat untuk mendapat sumber protein negara mencukupi dengan harga berpatutan.

Bagaimana ekosistem industri perikanan negara?

Ekosistem ini, apabila tiada ikan orang selalu dimomokkan dengan peranan kartel atau orang tengah. Sebenarnya peranan orang tengah atau kartel ini memang ada.

Melalui pengalaman saya sebelum ini yang terlibat dalam perniagaan ikan, membekalkan ikan kepada agensi kerajaan, saya pergi ke pasar borong untuk beli ikan. Peniaga-peniaga di pasar borong memaklumkan kepada saya, kenapa kamu susah-susah pergi cari ikan di pasar?

Kamu tidur, kamu sub sahaja kepada saya, saya boleh bagi kamu keuntungan 10 peratus. Jadi bila saya dengar, saya merasakan bahawa kalau mereka bagi saya 10 peratus, sudah tentu mereka dapat untung 20 ke 30 peratus.

Jadi saya mula membuat usaha menyiasat, mengorek secara mendalam permasalahan babitkan orang tengah ini. Untuk cari jawapan, di mana sebenarnya sumber yang patut saya dapatkan? Sebab di pasar borong, harganya mahal. Jadi saya usaha cari, akhirnya saya ke pelantar pendaratan.

Apa berlaku di sana?

Kalau kita beli di pelantar pendaratan, harga ikannya jauh lebih murah daripada di pasar. Tapi di sinilah saya dapati wujudnya kartel. Itulah pemborong-pemborong yang sedia ada, mereka sentiasa cuba menghalang agar tiada pemain baru atau pesaing masuk dalam pasaran tersebut.

Dan bentuk ekosistem di sana ialah, pertama bot-bot besar dan juga penangkapan laut dalam adalah dipunyai oleh pemain bukan Melayu. Mereka mempunyai rangkaian dan rantaian sehingga ke pasar-pasar.

Jadi sebagai pengusaha baharu, saya tak boleh menembusi rangkaian sedia ada, rantaian ini terlalu mustahil untuk saya tembusi. Jadi saya cari jalan sehingga bertemu nelayan-nelayan kecil. Bila jadi macam itu, saya boleh beli ikan tapi tak cukup.

Kenapa?

Kalau ambil secara borong dari nelayan, kita kena ambil landing rights, ambil semua. Sebab nelayan yang turun ke laut, mereka tak berniaga. Bila sampai ke darat bawa ikan, mereka akan terus tolak ikan. Jadi waktu itu saya tiada kapasiti untuk ambil semua sebab ikan ini ada beberapa bentuk.

Pertama, ikan yang boleh dijual terus. Jenis itu, peniaga akan jual terus di pelantar. Kedua, ikan yang kena diambil dan diedar, inilah ikan rakyat.

Ketiga, ikan-ikan kecil yang tidak digunakan untuk makanan rakyat, tapi digunakan oleh industri untuk menghasilkan isi ikan proses.

Keempat ialah ikan-ikan kecil yang dipanggil ikan baja. Ini digunakan untuk membuat makanan haiwan atau diproses sebagai baja tanaman.

Jadi saya punya kapasiti hanya nak beli dan pasarkan, jadi saya tak boleh beli satu kapal. Maka di sinilah kartel itu berlaku.

Sejauh mana kartel ikan ini berkuasa?

Mereka datang dengan membantu nelayan, sebab itu mereka berkuasa. Saya datang hanya untuk beli. Bila wujudnya kartel, maka berlaku permainan orang tengah. Maksudnya, nelayan tidak akan mendapat harga yang sepatutnya mereka dapat, berbanding ikan yang dijual di pasaran.

Orang tengah mengambil keuntungan yang sangat tinggi. Dalam ekosistem perikanan, di situlah berlaku kartel. Iaitu kapasiti membeli telah pun dikartelkan. Ia tak semudah pergi untuk beli secara borong, tak boleh. Yang hanya boleh melakukan ini ialah agensi kerajaan dan kerajaan itu sendiri.

PECAHKAN KARTEL

Nampaknya kerajaan saja yang mampu memecahkan dominasi kartel ikan?

Sepatutnya tidak boleh berlaku kartel. Kerajaan kena pastikan kartel tidak berlaku kerana kartel ini pertamanya, mereka menzalimi nelayan, kedua mereka menzalimi rakyat kerana memainkan harga ikan di pasaran.

Kalau kerajaan mahu pastikan ikan di pasaran dapat dibeli dengan harga berpatutan, maka kerajaan perlu pecahkan kartel ini.

Macam mana?

Kerajaan mesti menjadi agensi pembeli, itulah yang saya perjuangkan. Beli, proses, simpan dan edar. Sebab kartel ini telah mempunyai rangkaian pasar untuk diedarkan. Mereka ada rangkaian kilang-kilang sejuk beku untuk bekukan dan simpan ikan.

Mereka ada rangkaian kilang proses ikan untuk jadikan ikan keping beku. Mereka juga ada kilang makanan haiwan iaitu ikan baja, malah mereka juga ada rangkaian kilang baja tanaman menggunakan ikan. Mereka juga ada kilang untuk buat isi ikan.

Bagaimana modus operandi mereka?

Pertama, mereka ini menguasai kitaran ekosistem ikan negara. Dari sumber di lautan, sehingga peringkat terakhir iaitu pemasaran kepada rakyat. Contohnya, ada antara kartel mempunyai jeti pendaratan ikan swasta milik mereka sendiri. Kemudian, mereka ada kapal laut dalam jenis C2.

Mereka ada kilang beku, kilang proses sendiri. Malah mereka ada sistem pemasaran dan tahu nak jual kepada siapa. Mereka ini bergerak dalam rangkaian yang cukup luas di seluruh negara. Misalnya di Perak pun, boleh tengok betapa besarnya kilang pemprosesan mereka untuk produk ikan.

Sejauh mana penguasaan mereka terhadap industri ikan negara?

Contohnya, ada nelayan di Kedah yang ada kapal laut dalam jenis C2, mereka bawa balik ikan ke darat, tapi mereka tak boleh jual dengan harga yang stabil.

Sebaliknya kartel yang akan datang dan tawarkan harga tertentu dan nelayan ini terpaksa akur sahaja dengan harga yang ditawarkan kartel, yang semestinya terlalu rendah berbanding harga pasaran.

KEHIDUPAN NELAYAN DUA DARJAT

Masalah ini salah kerajaan atau kartel?

Setelah saya menelusuri kawasan laut dan sungai sepanjang saya menjadi Pengerusi LKIM, saya lihat kehidupan nelayan terbahagi kepada dua darjat. Maksudnya, yang kaya terlalu kaya, yang miskin papa kedana.

Nelayan bukan Melayu, biasanya di perkampungan mereka, bangunannya tinggi-tinggi, kapal mereka besar-besar. Kampung nelayan Melayu pula, bangunannya kecil-kecil, papan rumah dan bangunan robek belaka. Saya bangkitkan isu kehidupan dua darjat nelayan ini di dalam Parlimen.

Di kawasan saya di Bukit Gantang, Perak, ada dua perkampungan nelayan bukan Melayu di Kuala Sepetang dan Bagan Panchor, terlihat dengan nyata bagaimana megah bangunan dan kapal-kapal yang mereka miliki.

Tapi bagi kawasan kampung nelayan Melayu kecil-kecil, mereka sangat susah sehingga kerajaan terpaksa sediakan bantuan wang sara hidup bulanan sebanyak RM300. Inilah kesan akibat peranan orang tengah dan kartel.

Apa langkah yang perlu diambil?

Kena melaksanakan perubahan secara skala industri. Kerajaan sudah menyediakan sebanyak RM50 juta untuk transformasi industri perikanan, terutama daripada bot kecil kepada bot besar. Bila peluang-peluang ini diberikan kepada orang Melayu, masalahnya adalah mereka tiada modal langsung, tiada tanah untuk dicagarkan sebagai membuat modal awal.

Ini sudah berturutan daripada beberapa generasi. Di sini mereka biasanya akan bergantung kepada orang tengah dari segi mendapatkan modal. Inilah kartel. Jadi biasanya ikan yang ditangkap oleh nelayan akan diambil oleh orang tengah dan harga akan dimaklumkan kemudian.

KERAJAAN BELI IKAN

Langkah lain?

Kerajaan mesti ada kapasiti untuk membeli ikan daripada nelayan-nelayan. Ini belum dibuat lagi. Kerajaan setiap tahun ada peruntukan, berpuluh juta untuk membuat pembelian stok tapi tiada pelaksanaan. Inilah yang saya bangkitkan, iaitu masalah birokrasi. birokrasi.

Malas, sabotaj atau dibela pihak kartel?

Mengambil sikap mudah, tidak merasai tanggungjawab membela masa depan negara. Malah mungkin ada juga berlaku ‘Napoleon kecil’ dalam LKIM. Maksudnya bila pengerusi baharu dilantik, maka persepsi negatif akan berlaku, apa pengerusi baharu ini nak buat?

Bila saya masuk sebagai pengerusi, sebab latar belakang saya yang mendorong saya bersikap result oriented dan saya melihat kepada produktiviti dan hasil.

Jadi bila berlaku kekosongan mana-mana jawatan, saya memberikan pandangan kepada menteri untuk mencadangkan siapa yang lebih kompeten untuk memimpin.

Jadi mungkin ada yang tidak bersetuju dengan cadangan saya, maka mereka menunjukkan sikap dengan tidak mengikut apa-apa keputusan yang dibuat oleh ahli lembaga pengarah, ataupun arahan daripada Ketua Pengarah (KP).

Inilah yang saya maksudkan sebagai ‘Napoleon kecil’. Malangnya, yang merosakkan lagi ialah mereka berani memberi maklumat yang salah kepada kerajaan. Contohnya bila berlaku kekurangan ikan, bila kementerian tanya, mereka akan menjawab kita ada stok 5,000 tan metrik. Tapi sebenarnya stok ini tak pernah ada.

Apa yang Datuk akan buat?

Saya akan ambil satu tindakan drastik. Saya beri tempoh sebulan dari sekarang untuk KP LKIM selesaikan dan semoga dalam tempoh itu masalah birokrasi ini akan berjaya dibanteras dan proses pembelian ikan untuk stok akan dibuat secara sistematik dan lancar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×