JIKA merujuk Perkara 32(1) Perlembagaan Persekutuan yang digubal oleh Suruhanjaya Reid, jelas dinyatakan hendaklah ada seorang Ketua Utama Negara bagi Persekutuan, digelar Yang di-Pertuan Agong.
Seri Paduka hendaklah diberi keutamaan daripada segala orang di dalam Persekutuan dan tidak boleh dikenakan apa-apa jua pun prosiding di dalam mana-mana mahkamah kecuali di dalam Mahkamah Khas yang ditubuhkan.
Perkara 32(2) pula menyatakan isteri Yang di-Pertuan Agong (digelar Raja Permaisuri Agong) hendaklah diberi keutamaan daripada segala orang lain di dalam Persekutuan selepas Yang di-Pertuan Agong.
Sebagai Ketua Utama Negara, adalah cukup penting untuk rakyat menghayati Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini. Ini memandangkan Malaysia termasuk dalam kalangan 43 negara yang masih mengamalkan sistem pemerintahan beraja.
Bagaimanapun berdasarkan sistem pemerintahan yang mengalami evolusi daripada sistem beraja mutlak kepada sistem raja berperlembagaan, jawatan Yang di-Pertuan Agong agak unik kerana Seri Paduka dipilih Majlis Raja-Raja dalam kalangan sembilan raja Melayu bagi tempoh lima tahun, sekali gus tidak memegang jawatan itu seumur hidup seperti raja-raja lain di dunia.
Mulai 2021 dan sepanjang tempoh pemerintahan Al-Sultan Abdullah, Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka adalah pada Isnin pertama bulan Jun setiap tahun dan ia diisytiharkan sebagai hari kelepasan am.
Sambutan ulang tahun hari keputeraan pada 7 Jun tahun lepas ditangguhkan ke 13 November setelah mempertimbang peningkatan ketara kes jangkitan dan kematian akibat Covid-19 selain pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Tahun ini agak berbeza kerana segala istiadat sambutan berjalan seperti biasa termasuk Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan di Istana Negara, Kuala Lumpur hari ini.
Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah akan berangkat melawat Taska Genius Perpaduan di Taman Sri Rampai, Kuala Lumpur pada 9 Jun.
Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong akan mencemar duli menghadiri Istiadat Mengarak Panji-Panji Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya pada 10 Jun.
Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong tidak seharusnya setakat cuti umum sebaliknya harus dihayati kepentingannya yang tersendiri dan bukan hanya sekadar ceremonial (adat istiadat) semata-mata.
Kepentingan ini dapat dilihat lebih jelas dalam Prinsip Kedua Rukun Negara iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara yang menekankan Yang di-Pertuan Agong, raja-raja dan Yang di-Pertua Negeri merupakan lambang perpaduan, sekali gus berada di luar politik.
Setiap warganegara perlu menumpukan sepenuhnya taat setia yang benar-benar jujur dan inilah yang menyatukan rakyat pelbagai kaum.
Perkara 153 juga menekankan tentang perpaduan apabila meletakkan kewajipan ke atas Yang di-Pertuan Agong, bukan sahaja untuk menjaga kedudukan istimewa orang Melayu dan anak-anak negeri, bahkan kepentingan sah kaum lain sebagai warganegara Malaysia.
SAKSAMA
Seri Paduka yang bersemayam di puncak struktur pemerintahan merupakan simbol perpaduan. Ini bermaksud, baginda ialah payung kedaulatan negara untuk memberi naungan saksama kepada setiap warga tanpa mengira kaum, agama dan politik.
Dalam titah sempena sambutan ulang tahun hari keputeraan pada 13 November tahun lalu, Seri Paduka menyifatkan konsep Keluarga Malaysia boleh menguatkan perpaduan kaum.
“Benar bagai dikata, kita semua adalah diibaratkan sebagai sebuah keluarga. Jika kita amati, semangat Keluarga Malaysia ini boleh membawa kepada penyatuan dalam sebuah negara yang wujud beraneka kepelbagaian,” titah baginda.
Di Malaysia, Yang di-Pertuan Agong menjadi ketua negara kepada hampir 33 juta rakyat. Amanah dan tanggungjawab yang harus digalas oleh baginda terlalu berat.
Seri Paduka juga merupakan lambang keadilan dan kesaksamaan kerana baginda yang melantik semua hakim-hakim Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Tinggi atas nasihat Perdana Menteri setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja.
Dalam pada itu, mengikut Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan, hanya Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sahaja boleh memanggil Parlimen untuk bersidang selain mempunyai kuasa mutlak untuk menghenti atau pun membubarkan Parlimen.
Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Yang di-Pertuan Agong hendaklah menjadi ketua agama bagi negeri baginda sendiri, Pulau Pinang, Melaka, Wilayah Persekutuan, Sarawak dan Sabah.
Perkara 41 menyatakan baginda ialah Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera dan Perkara 42 membabitkan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk mengampunkan dan menangguhkan sesuatu hukuman.
Baginda mempunyai kuasa melantik dan melucutkan jawatan Jemaah dan Timbalan Menteri Menteri setelah mendapat nasihat Perdana Menteri yang termaktub dalam Perkara 43(5).
Sementara itu, satu lagi peranan Seri Paduka seperti yang dijelaskan oleh Pakar Perlembagaan, Prof. Datuk Dr. Shamrahayu Ab. Aziz dalam hantaran Facebook beliau adalah Perlembagaan Persekutuan membolehkan raja berperlembagaan mengambil tempat, menjadi pengimbang dan seterusnya bertindak meleraikan kekusutan sekiranya proses demokrasi menemui jalan buntu.
Sebagai ketua negara, puncak atau mercu kedaulatan negara, tulis beliau, pastinya Yang di-Pertuan Agong mempunyai peranan untuk menstabilkan apa jua keadaan yang menjejaskan kemakmuran dan keselamatan rakyat serta negara.
Justeru, katanya, dari semasa ke semasa, raja berperlembagaan boleh menasihati dan memberi panduan kepada semua pihak.
Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) menyatakan Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa budi bicara untuk melantik Perdana Menteri daripada mana-mana ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan.
Peranan itulah yang dilaksanakan oleh Seri Paduka apabila pemerintahan negara mengalami situasi pertukaran Perdana Menteri dalam tempoh singkat ketika setiap gabungan parti politik masing-masing mendakwa mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen. Dirgahayu Tuanku.-UTUSAN











